Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Allahyarham Mohd. Nasir Musa, 53, menghembuskan nafas terakhir ketika terlelap selepas mengadu sakit belakang dan mahu berehat sebentar sementara menunggu kelas seterusnya.

Pengetua sekolah, Awang Dahan Jusoh berkata, kejadian itu disedari salah seorang guru yang kebetulan melalui tempat mangsa berbaring, di lantai bersebelahan mejanya.

"Curiga melihat arwah seakan tidur dalam keadaan kaku, cikgu itu memanggil beberapa guru lain dan didapati beliau sudah meninggal dunia.

"Saya difahamkan, semasa mengajar, arwah mengadu sakit belakang dan selepas makan ubat dia turun ke bilik guru kerana mahu berehat serta baring sekejap," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Mohd. Nasir yang telah berkhidmat selama 31 tahun disifatkannya sebagai guru yang berdedikasi serta disenangi ramai.

"Arwah berasal dari Kampung Banggol Pauh Seberang Takir dan tinggal bersama kakaknya kerana belum berkeluarga," ujar beliau.

Turut menziarahi arwah ialah Exco Kerajaan ngeri, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin. - UTUSAN ONLINE