Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, gerakan pemutihan sedang dijalankan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang merampas peluang kalangan yang benar-benar memerlukan sedangkan mereka sekadar bermatlamat mencari keuntungan singkat dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan.

"Antara penyalahgunaan yang dikenal pasti pasti ialah pemilik tidak mendiami rumah yang dimohon, menyewakannya, dijadikan inap desa atau dibiarkan kosong.

"PMINT telah diarah untuk menjalankan siasatan berdasarkan aduan-aduan yang diterima. Mereka yang tidak layak sepatutnya menyerahkan semula," katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Penyayang Jabatan Kesihatan negeri, di sini hari ini.

Majlis yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar.

Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri akan membuka lebih banyak Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) usaha membantu rakyat negeri ini memiliki lot kediaman dan pertanian.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri akan terus menyediakan kawasan-kawasan baharu untuk memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata, baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan akan mengiklankan 5,900 tanah lot kosong di seluruh negeri untuk pembinaan rumah kediaman bagi rakyat negeri ini.

"Tanah yang berjaya dimiliki kelak perlu dibuat rumah dalam masa tiga tahun. Jika tidak, akan diambil semula manakala sebarang pembinaan dilakukan dan tidak boleh ditukar milik dalam tempoh tertentu," ujarnya. - UTUSAN ONLINE