Majlis itu diadakan di Wisma Darul Iman di sini dengan FRIM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd Latif Mohmod manakala GPB  oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, dan turut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

MoU itu bertujuan untuk melaksanakan kerjasama pembangunan dan penyelidikan di samping memastikan pembekalan bahan mentah khususnya bagi Program Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS) tidak terjejas.

Ketika berucap dalam majlis itu, Abd Latif berkata, kerjasama tersebut merupakan satu usaha penting selaras dengan matlamat kerajaan dalam memacu agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerjasama strategik ini diadakan bagi menangani masalah kekurangan bekalan bahan mentah yang sering dihadapi oleh pengusaha perabot tempatan.

“Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan berterusan, termasuk kayu bergergaji serta mana-mana bahan mentah yang bersesuaian bagi pengusaha perabot bumiputera yang terlibat dengan Program FRIM PCS,”ujarnya.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid dan  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Muhammad Pehemi Yusof yang juga Pengerusi Kumpulan GPB. - UTUSAN ONLINE