Tentunya menambahkan kegembiraan buat mereka dan kelegaan bagi ibu bapa sementelahan pada musim hujan yang berlarutan kini apabila Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menghulurkan bantuan hari ini.

Anak syarikat kerajaan negeri itu memperuntukan RM20,000 bagi tujuan itu dengan setiap murid daripada keluarga berpendapatan kecil itu menerima bantuan bernilai RM500 setiap seorang dalam Program Kembali ke Sekolah EPIC 2018 di Pusat Beli-Belah Mesra Mall Kerteh dekat sini.

Penyampaian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi EPIC, Wan Shukri Mohammad yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.

Yang hadir sama Pengurus Besar, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mahusain Wan Man; Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid; Pengurus Besar Pengkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB) dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Korporat, Azimah Abd. Rahman.

Noor Fadzil dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Wan Shukri memberitahu, program di bawah tanggungjawab sosial korporat EPIC yang dimulakan pada tahun 2009 ini digerakkan sebagai salah satu komitmen syarikat dalam membantu masyarakat dalam pelbagai bidang.

“Sepanjang tahun lalu EPIC membelanjakan lebih dari RM100,000 bagi membantu kalangan yang kurang bernasib baik melalui Program Kembali Ke Sekolah dengan tumpuan kepada golongan sasar bagi meringankan bebanan mereka.

“Pada hari ini, setiap murid diperuntukkan sehingga RM500 termasuk sebanyak RM350 untuk memenuhi keperluan asas persekolahan seperti mendapatkan uniform sekolah yang lengkap, beg sekolah, buku dan peralatan sekolah yang lain,” katanya.

Sementara itu, Nor Damia Shahirah Amirizan, 11, dari Sekolah Kebangsaan Cukai gembira kerana dengan bantuan yang diterima dia mempunyai lebih banyak pakaian dan kasut untuk digunakan secara bergilir sepanjang minggu.

“Musim hujan baju dan kasut mudah kotor, jika mudah diganti apabila terpaksa dibasuh,” ujarnya sambil menceritakan keadaan ayahnya yang uzur. - UTUSAN ONLINE