Terbaharu, semalam empat buah bot bersama 37 nelayan ditahan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Perkasa Timur di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Left. Komander Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, kesemua empat buah bot ditahan ketika sedang menangkap ikan secara ganding.

“Hasil pemeriksaan, kesemua 33 awak awak dan 4 tekong berumur 18 hingga 59 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dan mereka ditahan atas kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

“Kesemua bot dibawa ke Pengkalan Maritim Kemaman dan tiba pada pukul 3.30 petang ini,” katanya dalam sidang akhbar.

Mohamad Rezal berkata, pemeriksaan mendapati anggaran 2,600 kilogram ikan pelbagai jenis, 2,000 kilogram ikan baja dan 3,700 liter minyak disel.

Terdapat juga hampir 20 ekor ikan Yu hidup yang mendapat nilai pasaran cukup tinggi di negara jiran terutama Thailand.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan berjumlah RM3.5 juta. - UTUSAN ONLINE