Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kumpulan peserta perintis kalangan lepasan unversiti itu yang kebanyakan baru menamatkan pengajian akan menerima bayaran tunggakan elaun masing-masing tidak lama lagi.

Menurut Ahmad Razif, keputusan kerajaan meningkatkan kadar bayaran elaun itu setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos sara hidup yang perlu ditanggung peserta.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh turut mengagihkan sedikit daripada pendapatan itu untuk ke­luar­ga, khususnya ibu bapa, sebagai tanda penghargaan dan ingatan kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pe­nyampaian program Bantuan Persekolahan dan Pelancaran Tui­syen Rakyat Kuala Nerus di Bangunan Penyelaras Telaga Daing, di sini, semalam.

Melalui TGTP, penjenamaan semula kepada Skim Penempatan Siswazah Terengganu (T-GAS), seramai 275 lepasan universiti menjadi peserta perintisnya dalam program yang bertujuan memberi pengalaman dan latihan kemahiran tambahan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Ini diikuti seramai 380 peserta sesi pengambilan pada bulan ini yang sedang mengikuti latihan selama enam bulan di 12 syarikat milik kerajaan (GLC) di bawah Terengganu Inc dan tujuh GLC di bawah kumpulan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad negeri Terengganu (PMINT) secara automatik mene­rima kadar elaun baharu itu.

Antara bidang latihan yang ditawarkan dalam TGTP ialah pertanian, pembinan dan pembuatan, pengurusan, keusahawanan, pelancongan, perikanan dan penternakan.