Sebilangan buku yang dibeli melalui dalam talian baharu sahaja sampai ke rumah di kampung Dusun, Kuala Ibai di sini dalam beberapa bungkusan namun belum sempat dibuka setelah Allahyarham tiba-tiba uzur beberapa hari lalu.

Bekas warga pendidik itu yang meninggal dunia di hospital Sultanah Nur Zahirah di sini petang semalam akibat serangan jantung meninggalkan  seorang isteri dan lapan orang anak bersama cucu-cucunya di samping  lebih 14,000 naskah buku.

Melalui Dusun Buku, mengisi ruang usia persaraan yang dibuka lapan tahun lalu, menghimpunkan koleksinya bukunya sejak 1973, Allahyarham cuba mengongsikan dunia buku dengan masyarakat  bagi menyemarakkan kegemaran membaca dan menghargai bahan bacaan.

Malah Allahyarham meneruskan tradisi pemberian buku menggantikan duit raya kepada anggota keluarga yang dicetuskannya beberapa tahun lalu dengan memilih bahan-bahan bacaan yang bersesuaian usia dan latar kehidupan.

Salah seorang anak Allahyarham, Saifulnizam memberitahu, beliau mewakili keluarga memohon kemaafan bagi pihak Allahyarham sekiranya ada kekhilafan sepanjang hayatnya. 

“Berkenaan Dusun Buku, kami kesemua anak arwah akan meneruskan legasi peninggalan arwah. Semoga segala jasa dan pengorbanan arwah terus dapat dinikmati sejajar dengan hasrat penubuhan Dusun Buku, untuk memberi kemudahan kepada masyarakat. 

“Bagaimanapun, buat masa ini, Dusun Buku tidak beroperasi sehinggalah dimaklumkan kelak,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE