Suatu ketika kartun melalui era yang sangat popular, berperanan sebagai medium hiburan  yang turut bersalut komedi, sindiran, kritikan, pendidikan dan propaganda selain perakam rentak dan corak kehidupan masyarakat sezaman, hasil ekspresi dan interpretasi pengkaryanya.

Muzium Negeri Terengganu mengembalikan nostalgia terhadap karya dan terbitan mereka dalam Pameran Kartun dan Kita mulai 1 Julai lalu hingga 31 Oktober depan bersama kehadiran para kartunis terkemuka tanah air yang sekian lama mewarnai seni ini.

Karya-karya para seniman  dan apa yang diusahakan oleh para pendokong penerbitannya yang ternyata mempunyai nilai estetika dan pemikiran  yang tinggi semakin diberi apresiasi setimpal, dan pameran  ini mengabadikan permulaan legasinya sehingga ke animasi hari ini yang menjadi suatu industri seni dengan pelaburan begitu besar. 

Pameran selama empat bulan,  hasil kerjasama Jabatan Muzium, Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) dan Persatuan Animasi Malaysia (Animas) itu yang merupakan susulan darippda kejayaan hebat di Muzium Negara pada Disember 2017 hingga April lalu, disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A.Rahman Yahya; Pengarah Lembaga Muzium negeri,  Che Mohd Azmi Ngah dan barisan kartunis lagenda dan terkenal termasuk Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Datuk Lat), Professor Mulyadi Mahmood,  Mior Shariman Hassan (Mishar), Mie ( Ar. Ahmad Hilmy Abdullah), Juragan (Md Desa Omar) dan Presiden Animas, Amir Hamzah Hashim.

Lebih 500 karya terpilih daripada kira-kira 100 kartunis yang merentangi zaman bermula pada 1925 dan mencapai  era kegemilangannya sekitar awal 1970-an hingga 1990-an serta semasa boleh disaksikan dalam pameran yang cukup menarik dan unik itu.

Salah satu tumpuan ialah sudut penghormatan khas kepada kartunis tempatan dari Dungun, Fatah Ngah yang sangat sebati dengan watak komiknya, Lagak A.Mamud yang sangat menyenangkan.

Selain itu terdapat lukisan kartun sepanjang 14 kaki  hasil karya Aza (Abdul Razak b. Sofhi @ Subhi ) yang terkenal dengan kartun tanpa dialog samping penyediaan medium seperti hologram sebagai tarikan kepada pengunjung.

Melalui pameran ini juga, penganjur menyelitkan pelbagai informasi terperinci berkaitan naskah kartun tanah air di samping perbezaan pendekatan antara kartun, komik dan animasi selain kepelbagaian kaedah persembahan dan pembikinannya.

Berucap dalam majlis itu Ariffin berkata, pameran sebegini akan membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda Terengganu untuk meneroka lebih banyak potensi dalam seni ini yang kini menjurus ke industri animasi yang sangat menjanjikan.

“Pada era yang lampau kartun amat popular dan dibaca oleh golongan kanak-kanak dan remaja. Kinimereka telah dewasa malah ada yang telah menjadi warga emas, dan karya-karya itu menjadi sebuah nostalgia. 


“Pada waktu itu belum ada teknologi serta media sosial yang canggih sebagai punca hiburan dan maklumat seperti hari ini di mana segalanya hanya dihujung jari kita sahaja, namun kartun terus berkembang dalam bentuk baharu,” ujarnya.  

Beliau percaya keseluruhan pengisian pameran ini akan membuka ruang ilmu baharu yang mendedahkan kepada masyarakat mengenai dunia kartun dan animasi melalui kecanggihan teknologi masa kini.

“Bidang animasi mempunyai potensi yang sangat besar kerana merupakan metodologi pendidikan melalui hiburan  yang amat dekat dengan dunia  masyarakat hari ini khususnya kanak-kanak,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE