ARIFFIN DERAMAN
ARIFFIN DERAMAN

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memberitahu, di samping itu, jeti pelancongan ke Pulau Tenggol menelan dianggarkan RM2 juta akan dibina berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun.

Beliau memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, langkah membangunkan kemudahan pelancongan sebagai usaha memajukan kawasan pesisir Sungai Dungun bermula dari jeti LKIM sehingga ke Jambatan Lama Sungai Dungun.

“Panjang pantai pula untuk tumpuan pembangunan kawasan tarikan pelancongan ialah 5.76 kilometer bermula dari Kampung Tanah Lot ke Kampung Sura Hujung,” katanya ketika menjawab soalan lisan penyokong kerajaan, Wan Hapandi Wan Nik (Pas-Sura).

Menjawab soalan tambahan mengenai antara bentuk projek yang akan dilaksanakan di kawasan itu, Ariffin berkata, bagi pembangunan di Sungai Dungun yang pertama sekali ialah menaik taraf tempat meletak kenderaan, arca, dataran, pondok rehat serta laluan pejalan kaki.

“Kawasan memancing pula akan disediakan dengan kemudahan tempat meletak kenderaan, restoran, pintu masuk, kawasan sukan dan riadah. Rumah Api Teluk Bidara akan dinaik taraf termasuk kawasan rekreasi, perabot taman, kawasan penginapan, arca dan kiosk,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE