Ini termasuklah pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting (Kuala Nerus), Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (Kuala Terengganu), SMK Bukit Sawa (Marang), SMK Matang (Hulu Terengganu) dan SMK Paka (Dungun).

Pengerusi Persatuan Penggiat Seni Dikir Barat Terengganu (Pendikir Terengganu), Sulizi Che Awang memberitahu turut terpilih ke peringkat akhir setelah muncul sebagai johan peringkat daerah ialah pasukan SMK Bukit Mentok (Kemaman), SMK Putra (Besut) dan SMK Penarik, (Setiu).

“Program bagi menyuburkan kesenian warisan dan mengetengahkan bakat-bakat pelapis ini dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan negeri bersama Pendikir Terengganu dan Jabatan Pendidikan negeri bertemakan Pelancongan Menjana Ekonomi Terengganu,” ujarnya di sini hari ini.

Sebelum pertandingan julung kali ini dimulakan, satu bengkel bimbingan telah dibuat pada 2 hingga 4 Ogos lalu melibatkan 150 orang peserta mewakili 22 buah sekolah menengah seluruh negeri dan kemudiannya disusuli pertandingan peringkat daerah pada 11 hingga 15 Ogos lalu.

Menurutnya, johan peringkat akhir akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 manakala naib johan RM2,000, ketiga RM1,000 dan sagu hati RM700.

Bagi Anugerah Khas Tukang Karut Terbaik, Juara Terbaik, Pemuzik Terbaik, Awok-Awok Terbaik, Pakaian Terbaik, Skrip Terbaik dan Mentor Terbaik masing-masing membawa pulang wang tunai RM100.

“Para peminat seni dikir barat dijemput hadir menyaksikan pertandingan ini yang akan turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan dikir KESENI Besut bersama pendikir jemputan termasuk Halim Yazid, Cikgu Amirulmukmin, Wadi Tok Dalang dan saya sendiri, katanya.-UTUSAN ONLINE