A. LATIFF AWANG

Bekas guru yang berkelulusan Sarjana Muda Pendidikan dalam Jurusan Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Putra (UPU) Malaysia ini dan aktif dalam pertubuhan belia, Cikgu Latiff cukup sinonim de­ngan kawasan yang diwakili sepanjang penggal lalu.

Panggilan itu dan juga 'Pok Teh' dalam anak muda sudah sebati, suatu cerminan sentuhan peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan ini dengan masyarakat setempat termasuk kalangan kaum Cina.

Seorang rakannya, Zakaria Yaacob ketika diminta reaksi menceritakan: “Dia dah lama ber­khid­mat dalam masyarakat, bukan sahaja mela­lui politik, tugas­nya sebagai guru dan pemimpin pertubuhan. Bo­leh dikatakan dia dikenali oleh sebahagian besar penduduk dan dia sendiri kenal tangga rumah mereka.”

Kalau tidak berpeluang bertemu Cikgu Latiff di pejabatnya sebagai anggota Exco atau di Pusat khidmat DUN, masyarakat setempat boleh sahaja ke rumah di Taman Binjai Rendah, di sini kerana di rumahnya juga disediakan ruang pejabat khusus bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan rakyat.

Mereka yang datang dengan pelbagai ke rumahnya bukan sahaja terdiri daripada pengundi Pengkalan Berangan, tetapi juga mereka yang tinggal di kawasan DUN lain.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Jerong Tuan, Abdul Mutalib Samion berkata, rakyat di Pengkalan Berangan merasakan Cikgu Latiff merupakan pilihan terbaik.

“Kalau boleh biarlah Cikgu Latiff terus berkhidmat Hubungan beliau dengan rakyat rapat dan senang diajak berbincang tentang keluhan rakyat,” ujarnya apabila beberapa nama lain turut disebut akan dicalonkan di Pengkalan Berangan di samping desas-desus A. Latiff akan beralih ke kerusi Parlimen.

Sementara itu, A. Latiff berkata, beliau sebati dengan DUN Pengkalan Berangan, tetapi tetap menerima apa sahaja keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

“Saya masih lagi berminat untuk memberikan khidmat sebagai wakil rakyat di kawasan ini. Banyak lagi agenda yang belum selesai untuk dilaksanakan. Kalau dicalonkan dan terus menang di kawasan ini, selepas PRU-14 kita akan teruskan fokus kepada pembesaran jalan yang agak mendesak.

“Wawasan saya di sini adalah untuk membesarkan jalan pintas, banyak lagi yang perlu kita buat untuk keselesaan dan keselamatan. Jalan-jalan dari Sekolah Menengah Wakaf Tapai ke Lubuk Batu melibatkan kos RM34 juta juga perlu dilaksanakan,” katanya kepada penduduk Jerong Tuan baru-baru ini.