Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin membe­ritahu, negeri ini mencatat pe­ningkatan Purata Nilai Gred Ke­seluruhan (PNGK) kepada 2.91 mengatasi PNGK nasional 2.76.

Menurut beliau, kesemua calon lulus penuh sekurang-kurangnya memperoleh satu prinsipal di sam­­ping peningkatan mendadak jumlah calon yang memperoleh kesemua A iaitu melonjak daripada 55 calon kepada 77 calon bagi 2017.

“Turut membanggakan apabila PNGK calon luar bandar turut meningkat kepada 2.92 berbanding tahun sebelumnya 2.85, manakala calon bandar pula 2.89 berbanding 2.84 (2016),” katanya ketika pengumuman keputusan STPM 2017 peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transfomasi ne­geri, A. Latiff Awang.

Beliau berkata, seramai 2,415 calon menduduki peperiksaan STPM pada tahun lalu berbanding 2,263 orang pada 2016.

Daripada jumlah itu, seramai 23 calon memperoleh semua A penuh (PNGK 4.0), 77 memperoleh semua A (3.20 peratus), 5P & 4P- seramai 1,880 (78.14 peratus), lulus penuh- seramai 2,393 (99.67 peratus) dan lulus sebahagian seramai lapan calon (0.33 peratus).

Sebanyak 10 buah sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas, antaranya Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu (3.45), SMA Maarif Besut (3.33), SMK Saujana Setiu (3.28), dan SMK Bukit Besar (3.20).

Seramai 23 pelajar STPM diumumkan sebagai pelajar terbaik yang mendapat semua A (AA) dengan PNGK 4.00, antaranya ialah Muhammad Zakiy Majdee Shahrul dan Nurul Atikah Ab. Manaf, masing-masing dari SMKA Maarif, Besut dan Siti Zaliha Baharuddin (SMK Nasiruddin Shah).

Sementara itu A. Latiff yang mewakili kerajaan negeri meng­ucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon dan warga pendidik dalam memartabatkan pendidikan di negeri ini dan menyifatkannya satu lagi kisah kejayaan Terengganu.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman telah bersetuju untuk meraikan kejayaan pelajar terbabit yang akan diadakan di Dewan SMK Ibrahim Fikri pada 8 Mac ini.

“Dalam majlis itu nanti kerajaan negeri akan menghadiahkan notebook kepada 23 pelajar yang cemerlang dan 77 lagi pelajar yang memperoleh 4A (A&A-) akan menerima tablet,” ujarnya.