Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, justeru, mulai tahun depan, semua 497 tandas yang terdiri daripada 105 buah tandas hospital dan 392 buah tandas pejabat kesihatan serta klinik di seluruh negeri akan mula diberikan penarafan bintang.

"Sasaran ini sebenarnya sejajar dengan Program Peningkatan Kebersihan dan Keselamatan Tandas serta Promosi Kesedaran Penjaga­an Kemudahan dan Kebersihan Tandas di fasiliti milik Kementerian Kesihatan yang telah dilancarkan baru-baru.

"Selain promosi kesedaran kepada pengguna tentang penjagaan kebersihan, keselamatan dan kesihatan tandas, sistem penggredan dan pengiktirafan kepada fasaliti-fasiliti ini juga mampu menjadikan tandas tersebut lebih bersih dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran program tersebut di lobi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus dan Timbalan Pengarah Kesihatan nege­ri (Perubatan), Dr. Saiful Rahman Sayed Mohammad.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammad berkata, bagi tujuan itu, JKNT telah merangka program bersepadu bermula Ogos lalu untuk memastikan setiap pusat berkaitan yang dipertanggungjawabkan untuk tujuan itu dapat menjalankan pemantauan berdasarkan sistem pemarkahan yang disediakan terhadap tandas-tandas yang terlibat.

Beliau berkata, pihaknya mengguna pakai garis panduan penarafan bintang untuk kebersihan tandas kegunaan awam itu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan melibatkan 26 elemen pemarkahan yang akan dinilai termasuklah dari segi persekitaran, penyelengaraan dan tahap kebersihan.

Menurutnya, menjaga kebersihan tandas awam seharusnya dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat agar semua pihak mendapat perkhidmatan yang terbaik dan bersih.

"Sejajar dengan program itu, JKNT berharap bilangan tandas yang mendapat penafaran tiga bintang dapat ditingkatkan pada tahun 2017 dan seterusnya 100 peratus menjelang tahun 2018.

"Begitu juga dengan aduan mengenai tandas awam yang diharap dapat mencapai tahap aduan sifat menjelang tahun 2018," katanya yang memberitahu, pihaknya te­lah menerima sebanyak 16 aduan berkaitan masalah tandas di hospital, pejabat dan klinik kesihatan sejak tahun 2012 hingga Julai lalu.