Itu trek larian sejauh 21 kilo­me­ter kejohanan Bukit Besi Rainfo­rest Half Marathon yang pertama kali berlangsung baru-baru ini.

Penganjurannya berjaya mena­rik penglibatan hampir 350 peserta dari seluruh negara untuk turut sama meneroka alam semula jadi kawasan bersejarah ini.

Sebahagian daripada peserta membayangkan keinginan untuk datang lagi dengan harapan kejohanan itu dapat diteruskan sebagai kegiatan tahunan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi di samping menambah kemudahan sedia ada.

Salah seorang peserta, Abdul Manaf Ismail, 40, berkata, kawasan tersebut sesuai untuk pelbagai kegiatan sukan lasak dan juga aktiviti keluarga yang sepatutnya dapat dihidupkan sepanjang masa, dan bukannya bermusim.

“Banyak kegiatan boleh dilakukan di sini oleh pelbagai pihak dan perlu disokong melalui usaha pihak swasta termasuk membangunkan resort dan kemudahan bagi menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi sepanjang masa,” ujarnya.

Kejohanan dibahagikan kepada empat kategori termasuk kategori terbuka lelaki dan terbuka wanita yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000, RM750 dan RM500 bagi tempat pertama hingga ketiga setiap kategori.

Acara pelepasan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.

Dijayakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara Terengganu Kampus Bukit Besi, penyertaan program perintis ini dianggap mencapai sasaran tersendiri.