Mereka membawa pulang lima anugerah termasuk Anugerah Utama Rekacipta Terbaik Asia (Best Invention Of Asia) untuk produk P’ Amary, dua pi­ngat emas untuk produk P’ Ama­ry dan Smart Eazer di samping Anugerah Istimewa daripada World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) dan JSC NIIAS, Russian Railways.

Pasukan sekolah yang di­biayai kerajaan negeri itu diwakili tiga pelajar iaitu Ahmad Fakhrul Ismail, 16, Ahmad Aliuddin Zulkifli, 16, dan Wan Wadhihah Nadhirah Faisal, 13, bersama dua guru pengiring, Saripah Embong dan Zawiah Dollah.

Pengerusi Jawatankuasa Per­­dagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Ke­sejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyambut kepulangan rombongan sekolah tersebut di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Maliaman Kassim dan Pengarah Pendidikan Negeri, Safruddin Ali Hussin.

Tengku Hassan berkata, pencapaian SMAAZA amat membanggakan kerajaan negeri yang memperlihatkan bukan sahaja sekolah di negeri ini mampu bersaing di peringkat dunia tetapi menjadi suatu motivasi untuk kejayaan lebih meluas.

“Tahniah atas pencapaian cemerlang warga SMAASZA me­ngatasi sekolah hebat dari seluruh dunia.

“Mereka berusaha mencabar diri dalam persaingan dan hasrat menyertai pertandingan INOVA ini menjadi kenyataan apabila Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri meluluskan peruntukan khas,” katanya.

Sementara itu, berhubung dua produk dipertandingkan itu, P’Amary merupakan produk ke­sihatan berasaskan minyak sawit untuk merawat penyakit kulit, antibakteria, kulat dan penghalau serangga manakala Smart Eazer pula merupakan produk pencuci, boleh digunakan untuk mencuci pakaian dan sebagainya.