Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, bangunan itu yang mampu menempatkan 60 katil turut menyediakan perkhidmatan sokongan lain antaranya pusat rehabilitasi psikiatrik, klinik pakar, farmasi dan sebagainya.

Beliau menjelaskan, sebaik siap kelak, kesemua pesakit mental termasuk yang kini ditempatkan sementara di Hospital Hulu Terengganu akan dipindahkan semula ke blok baharu itu untuk rawatan lanjut.

“Blok baharu setinggi tiga tingkat untuk psikiatrik ini dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2018 dan buat masa ini ia sedang dalam pembinaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Terbuka HSNZ 2017 di Kompleks Rawatan Harian hospital itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.

Roslee selanjutnya menarik perhatian, sebuah lagi bangunan tambahan yang menyediakan perkhidmatan hemodialisis bagi menampung keperluan jumlah pesakit buah pinggang yang semakin bertambah.

Menurutnya, kemudahan itu bakal menyediakan sebanyak 10 unit mesin hemodialisis penghujung tahun 2019 sebagai tambahan kepada 45 mesin sedia ada yang terdapat di hospital berkenaan.

Selain itu, jelasnya, empat buah lif lama di bangunan utama HSNZ akan diganti baharu dengan dua daripadanya dijangka mula beroperasi akhir tahun ini manakala penukaran dua lagi lif dijangka menyusul selepas itu. - UTUSAN ONLINE