Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, peruntukan sebanyak RM5,000 bagi setiap persatuan itu disalurkan melalui Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT).

“Saya harap pemimpin persatuan buat seelok-eloknya, gerak betul-betul sehingga berjaya menjadikan persatuan anda kelihatan hebat dan berada di landasan lebih molek lagi,” katanya ketika merasmikan Festival Belia Negeriku di Dataran Pantai Batu Buruk di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan ne­geri, Datuk Rozi Mamat dan Pe­ngerusi MBNT, Amirullah Othman.

Terdahulu, Ahmad Razif turut hadir pada majlis sambutan Israk Mikraj bersama MBNT di Masjid Ladang.

Menurut Ahmad Razif, per­belanjaan besar yang diagihkan kepada persatuan belia setiap tahun membuktikan bahawa kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan peranan golongan tersebut, malah amat menghargai.

Beliau seterusnya berharap para aktivis belia sentiasa menzahirkan sokongan dan kecintaan kepada negeri dalam gerak kerja mereka yang boleh memberi manfaat kepada negeri dan masyarakat.

Sementara itu, dalam majlis yang berlangsung secara santai itu turut dilancarkan lagu Belia Negeriku selain makan malam bersama belia.

Festival selama dua hari yang julung kali diadakan itu dime­riahkan dengan sukan pantai, pertandingan reka cipta barangan terbuang, pameran, tawaran peluang kerjaya, persembahan kese­nian dan belia berselawat.