Lazimnya bekas isterilah yang lebih terkesan apabila terpaksa mula menyara kehidupan bersendirian, dan menguruskan keperluan selaku ibu tunggal dengan cabaran yang bukan sedikit, bukan sahaja beban kewangan tetapi juga kesan emosi diri dan anak-anak di sam­ping persepsi negatif kalangan masyarakat.

Hampir enam tahun Najmi Fatmawati Muhammad, 36, ibu kepada dua orang anak itu membawa diri ditemani anak bongsunya yang kini berusia 10 tahun untuk mula bekerja mencari nafkah dengan menjadi guru tadika yang turut membawanya ke Sarawak.

Penubuhan Persatuan Ibu Tunggal Dewan Undangan Nege­ri (DUN) Teluk Pasu pada 2016 yang disertainya dengan kemudahan sokongan dan bantuan kerajaan negeri terutama melalui Yayasan Pembangunan Keluarga negeri Terengganu (YPKT) bagi golongan ibu tunggal sepertinya, membawanya kembali menetap di kampung halaman dua tahun lalu.

“Hasil penyertaan dalam kursus-kursus termasuk masakan yang dianjurkan di Bangunan Ibu Tunggal Kuala Nerus di Kampung Serdang Baru di sini saya lebih yakin malah memberanikan diri dalam perniagaan makanan terutama laksa Pe­nang.

“Saya hargai sokongan tidak putus-putus termasuk kecaknaan, suntikan semangat, ban­tuan kewangan, kemahiran-ke­mahiran yang dibekalkan. Adanya bangunan ini yang dibiayai oleh kerajaan mengukuh­kan lagi permuafakatan dan gerak kerja membantu membela nasib ibu tunggal,” katanya

Beliau menyatakan demi­kian ketika ditemui selepas majlis perasmian Bangunan Ibu Tunggal Kuala Nerus yang disempurna­kan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini semalam.

Yang hadir sama, isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa; Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Tuan Arif Sahibu Fadillah Tuan Ahmad dan wakil Kelab Ibu Tun­g­­gal Kuala Nerus, Ajizah Othman.

Najmi Fatmawati yang kini mengetuai Persatuan Ibu Tunggal DUN Teluk Pasu merupakan antara 3,658 ibu tunggal yang berdaftar di Parlimen Kuala Nerus.

Bangunan Ibu Tunggal Kuala Nerus yang berkeluasan 0.02833 hektar dan kos pembinaan sebanyak RM266,183, telah beroperasi sepenuhnya pada 30 Jun 2013 dengan dilengkapi kemudahan bilik mesyuarat, tiga kiosk jualan serta satu ruangan aktiviti termasuk bagi kegiatan keagamaan dan motivasi.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, di samping itu sebuah pusat aktiviti ibu tunggal peringkat negeri akan dibuka di Cende­ring tidak lama lagi, bagi menggerakkan aktiviti berskala besar bagi memberi manfaat lebih meluas dengan menjadikannya sebagai pusat sehenti dalam memenuhi keperluan golongan itu.

“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan ibu tunggal malah, pelbagai inisiatif telah digerakkan bagi memastikan kebajikan golongan ini terus terbe­la selaras untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga,” ujarnya ketika berucap.

Katanya, dalam Bajet 2018 lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi menjayakan program peningkatan ekonomi, bimbingan dan perundangan, pemantapan keluarga tunggal dan sokongan sosial serta kesedaran penjagaan kesihatan selain pelbagai skim bantuan oleh jabatan negeri dan Pusat.

“Malah kerajaan negeri memberi insentif RM1,000 kepada mana-mana mereka yang berhasrat untuk berkahwin semula.

Beliau memberitahu, aktivi­ti ibu tunggal seperti berniaga, menjahit, memasak, bidang solekan, mengurut dan lain-lain mampu dijadikan sebagai satu lagi kekuatan Terengganu bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Saya sentiasa berdoa semoga lebih ramai golongan ibu tunggal di negeri ini dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi kekeluargaan lain.

“Selain itu, saya juga berharap agar perkataan ibu tunggal itu dapat dijenamakan semula sebagaimana yang kita lakukan pada `home manager' dan saya yakin langkah ini dapat memberi motivasi kepada golongan sasar untuk lebih berjaya di masa depan sekiranya mereka terus berusaha,” katanya.