Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, masyarakat perlu mematuhi arahan Pusat Bencana Daerah dan bersedia berpindah dengan segera sekiranya diarah berbuat demikian.

Beliau menegaskan, keenganan mereka untuk berpindah menjadi satu kesalahan kerana mengingkari arahan pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab menyelia dan membantu menyelamat mangsa banjir.

“Pernah berlaku apabila pihak berkuasa mengeluarkan arahan pindah tetapi mangsa banjir tidak mahu berpindah dengan alasan di kawasan mereka sudah biasa air naik dalam masa dua tiga jam sebelum surut semula apabila hujan berhenti.

“Sedangkan hujan turun berterusan menyebabkan air semakin naik dan ini menyukarkan pasukan penyelamat untuk membantu menyelamat terutama waktu malam,” katanya sempena Program Perasmian Flag Off Rakan Sahabat 4x4 bersama Team Rescue IPD Kemaman di perkarangan IPD itu di sini hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Chukai, Hanafiah Mat.

Sementara itu, sehingga pukul 11 malam tadi, seramai 114 orang mangsa banjir daripada 28 keluarga telah dipindahkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu 42 orang di PPS Pondok Polis Kemasik, di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik (15 orang) dan 57 orang di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kg. Baru Kerteh. - UTUSAN ONLINE