MUSA
MUSA

Sikap tidak bertanggungjawab yang memberi gambaran menjelekkan ini mula menimbulkan keresahan penduduk setempat, dan mereka berharap pihak berkuasa tidak membiarkan keadaan ini berterusan.

Mereka menggesa langkah segera diambil dengan bertindak tegas terhadap pihak yang terbabit untuk dijadikan pengajaran agar tidak mengambil langkah mudah membuang sampah sarap sewenang-wenangnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perasing Jaya, Musa Mohd Amin, 56, berkata, timbunan sampah sarap terutama sisa kayu dan tanah dapat dilihat di bahu jalan dari Kawasan Perindustrian Gebeng menuju Felda Neram Satu berhadapan Taman Sri Perasing, dekat sini sejak kebelakangan ini.

Katanya, laluan itu merupakan laluan utama bagi penduduk beberapa buah kampung termasuk kampung Seratus, Tengah, Padang Lalang, Felda Neram 1 dan Perasing Jaya ke kawasan perindustrian Gebeng dan Kuantan setiap hari.

"Memandangkan sekarang masih lagi musim hujan, perbuatan membuang sampah di bahu jalan ini bukan sahaja menyakitkan pandangan dan mencemarkan persekitaran, malah dengan air bertakung, mudah membiakkan nyamuk.

"Sepatutnya mereka membuang sampah tersebut di tempat pelupusan sampah yang telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Kuantan yang tak berapa jauh dari kawasan perindustrian itu," ujarnya hari ini. - UTUSAN ONLINE