Program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri yang dirintis itu telah diadakan di Setiu Agro Resort di sini semalam yang menarik penyertaan hampir 100 pelajar dari lima sekolah di daerah ini.

Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, program itu adalah untuk memberi penekanan terhadap Transformasi Nasional 2050 (TN50) agar generasi masa kini dapat mengisi ruang dan peluang mencorak kehidupan lebih makmur dan sejahtera pada masa depan.

“Sasaran untuk membentuk masa depan negara menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi harus diisi dan diberikan makna oleh rakyat sendiri dengan semangat patriotik yang tinggi.

“Program ini merupakan siri pertama yang memberi penekanan konsep kepemimpinan yang mantap dari segi fizikal dan mental melalui pelbagai aktiviti lasak, riadah, motivasi dan kerohanian,” katanya selepas perasmian program itu disempurnakan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi GPMS Terengganu, Mohd. Izham Ahmad; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Abu Bakar Muda dan Ketua Fasilitator, Zolkarnain Shari.

Shafruddin berkata, antara yang perlu ada untuk kejayaan seseorang pelajar itu ialah cita-cita, sasaran, hubungan baik sesama manusia, hubungan dengan Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa serta adik beradik.

Katanya, pelajar perlu mempraktikkan perkara itu sekiranya mereka mahu menjadi orang yang benar-benar boleh dianggap berjaya suatu hari nanti.