Setahun selepas itu, Akilah yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dihantar ke Yayasan Saad di sini iaitu sebuah asrama menempatkan anak-anak yatim yang cemerlang dalam pelajaran.

Akilah menanam tekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga selepas ibunya, Nor Syarifah Syed Noh, 51, yang tinggal di Chuping tidak bekerja dan hanya bergantung dengan wang belanja daripada abang dan kakaknya.

Malah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma itu juga sentiasa berjimat cermat dengan menyimpan duit yang diberikan oleh pelbagai pihak sejak berumur 13 tahun untuk digunakan apabila dia menyambung pelajaran ke menara gading tanpa perlu menyusahkan keluarga.

Hari ini, selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 diumumkan, Akilah tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata apabila mendapat keputusan cemerlang 8A dan 1B, sekali gus impiannya selama ini untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi bakal menjadi kenyataan.

“Alhamdulilah saya mendapat keputusan yang baik dalam SPM kali ini. Saya akan gunakan duit yang saya simpan bernilai lebih RM5,000 sejak lima tahun lalu itu untuk membantu saya menyambung pelajaran.

“Duit sumbangan dan derma yang diberikan pelbagai pihak itu saya simpan dari dulu untuk tujuan ini (sambung pelajaran). Sepanjang tempoh itu, belanja saya seharian adalah dengan menggunakan elaun bulanan RM50 dari pihak yayasan sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Akilah, dia bercadang untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarangsa Malaysia (UIAM).

“Cuma apa yang membuatkan saya terkilan, sejak daripada UPSR sehingga kini, saya tidak sempat berkongsikan kejayaan dengan arwah ayah yang meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya. - UTUSAN ONLINE