Inisiatif misi bantuan kemanusiaan Terengganu Untuk Rohingya : Sekampit Beras Untuk Rohingya itu akan digerakkan oleh Skuad Sukarelawan TTB bersama Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO negeri sehingga pertengahan bulan depan.

Ketua Urusetia, Samiun Salleh berkata, idea cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai tanda keprihatinan rakyat negeri ini terhadap nasib malang etnik yang berdepan penindasan dan kekejaman di Wilayah Rakhine, Myanmar.

Katanya, bantuan kepada pelarian di kem terbesar di Bangladesh yang menempatkan 400,000 orang itu dijangka dapat disalurkan pada akhir Oktober dalam bentuk makanan, perubatan dan barangan keperluan.

“Skuad TTB akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpulkan dana itu.

“Di samping itu, tabung-tabung sumbangan akan turut diletakkan di beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang berhubung secara terus dengan pelanggan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan oleh pelbagai pihak kepada akan diadakan dalam satu majlis pertengahan bulan depan.

Menurut Samiun, seramai 50 sukarelawan TTB dijangka dibawa ke kem pelarian di sana untuk membantu kerja-kerja kemanusiaan bersama doktor-doktor sukarelawan daripada Mercy Malaysia bagi memberi khidmat perubatan dan rawatan kesihatan.

“Diharap pelbagai pihak dan orang ramai dapat berganding bahu bagi menjayakan kempen ini, malah kita turut mengalu-alukan komitmen mana-mana pihak untuk menjalin kerjasama dalam membantu mencapai sasaran RM1 juta,” katanya.UTUSAN ONLINE