Dia meminta salah seorang da­ripada dua anaknya yang kebetulan ingin ke bandar agar membuat bayaran itu namun dia agak terpe­ranjat bila diberitahu oleh anak­nya yang melihat bil-bil itu bahawa mereka tidak perlu lagi menjelaskannya.

Bil yang tetap sampai ke rumah setiap bulan tidak lebih sekadar makluman tentang tahap penggunaan sahaja, dan dengan jumlah yang dicatatkan di bawah 20 meter padu (bersamaan RM8.40) melayakkan mereka menikmati kemudahan bekalan air secara percuma.

“Ambo tak tahu kerajaan beri percuma. Ambo rasa lega tak pa­yah habis masa pergi bandar untuk buat bayaran, tak risau air kena potong. Kadar RM8.20 itu mungkin tak ada makna bagi setengah orang, tetapi ambo berterima kasih sangat.

“Banyak benda yang dia (kerajaan) bantu, selebihnya kita usahalah sendiri, tanggungjawab ki­ta, dok gitu (bukan begitu?),” katanya yang turut merujuk tentang pe­nerimaan BR1M, Dana Raya untuk keluarga dan Dana Remaja untuk anak-anaknya selain soal insentif untuk kebun suaminya.

Mek Lijah yang ditemui kebe­tulan sewaktu menjengah anaknya yang belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di sini Sabtu lalu merupakan kalangan hampir 500,000 penduduk negeri ini, melibatkan kira-kira 110,000 buah rumah yang mendapat subsidi itu mulai awal tahun ini.

Langkah tersebut merupakan antara insentif kerajaan negeri melalui Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bagi terus menjaga kebajikan rakyat termasuk menikmati bekalan bersih di samping menggalakkan penggunaan secara cermat.

“Pemberian bekalan air percuma untuk penggunaan domestik di seluruh negeri mulai awal tahun ini melibatkan peruntukan kira-kira RM6.6 juta setahun walaupun tarif air di negeri ini merupakan antara yang terendah, dan bekalan yang disalurkan berkualiti mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Isi rumah yang menggunakan air melebihi 20 meter padu sebulan pula diharap akan berusaha untuk mengekalkan penggunaannya di bawah kadar tersebut, dan secara tidak langsung kita melatih budaya berjimat cermat,” ujar Ahmad Razif.

Ketua Pegawai Eksekutif Sya­rikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), Atemin Sulong pula menjelaskan sejumlah antara RM520,000 hingga RM550,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri setiap bulan untuk pemberian air percuma itu.

“Kita ada lebih 300,000 pemegang akaun SATU, 85 peratus adalah pengguna domestik di seluruh Terengganu dan 35 peratus daripadanya atau 110,000 rumah menikmati kemudahan air bersih secara percuma setiap bulan,” ujar Atemin ketika ditemui semalam.

Pada tahun ini, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM47.88 juta untuk pembangunan bekalan air sejajar dengan pembukaan kawasan penempatan baharu dan program pengurangan Air Tidak Berha­sil (NRW) sepanjang tahun ini.

Perkhidmatan air merupakan industri yang berintensif teknologi dan memerlukan modal yang tinggi, peruntukan yang besar diperlukan setiap tahun termasuk menggantikan paip-paip air sedia ada kerana banyak yang telah melebihi jangka hayatnya.

Ini meletakkan Terengganu sebagai salah satu negeri yang paling memberi keutamaan dan terkehadapan dalam pengurusan perkembangan sumber itu un­tuk menampung keperluan se­masa dan akan datang, se­iring dengan jangkaan kerancakan pembangunan dan kepesatan pertumbuhan penduduk.

Sehingga kini, liputan bekalan air bersih sudah menjangkau 99.8 peratus kawasan di seluruh negeri ini termasuk di semua perkampungan masyarakat Orang Asli, dan kerajaan negeri sudah membuat persiapan untuk ke­perluan masa depan terutama di Kuala Terengganu dan Kemaman.

Di Kuala Terengganu, loji baharu menelan kos sebanyak RM800 juta manakala di Kemaman seba­nyak RM500 juta, kedua-duanya dijangka siap pada 2020 dan 2019 yang kelak ber­upaya menampung ke­perluan pengguna mencecah 2035 hingga 2040.

Pada Mei 2016, Petronas menye­rahkan hak milik loji rawatan air bernilai RM464 juta yang membekalkan air terawat ke Kompleks Petrokimia di Kertih (KIPC) kepada kerajaan negeri enam tahun lebih awal daripada perjanjian yang sepatutnya.

Pengambilalihan loji rawatan air itu akan menjimatkan masa dan kewangan kerana pembinaan sebuah loji baharu memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan, malah ia memerlukan perbelanjaan cukup tinggi.

Langkah itu membolehkan be­kalan diperluaskan bagi menampung keperluan domestik dan industri di Kemaman, di sam­ping sebahagian keperluan di Hulu Terengganu.

“Ini juga membolehkan loji di daerah Hulu Terengganu ditutup kerana tidak lagi ekonomik dan sering terdedah kepada gangguan bekalan pada musim kemarau,” ujar Atemin.

Bagi Atemin mungkin hanya golongan yang berada dalam ke­senangan tidak memberi nilai ter­hadap pemberian percuma itu, dan Mek Lijah mungkin bersetuju dengan kata-katanya itu.