Berdasarkan rekod daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), jumlah ibu dan bapa tunggal di negeri ini pada tahun ini meningkat kepada 43,269 orang dan daripada jumlah itu, 35,426 orang adalah wani­ta yang memperlihatkan mereka sebagai ibu lebih sukar untuk kembali semula dalam kehidupan berumah tangga.

Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, daerah Kemaman merekodkan bilangan ibu dan bapa tunggal paling tinggi iaitu seramai 6,972 orang manakala Hulu Tengganu pula merupakan daerah paling sedikit dengan rekod seramai 4,165 orang.

“Walaupun bilangan ini semakin meningkat (berbanding lebih 32,000 tahun lalu), namun ia tidak membimbangkan dan bukan menjadi beban kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian terhadap nasib mereka terutama kalangan ibu.

“Kita lihat golongan ini sebenarnya suatu aset penting, dan pelbagai perancangan digerakkan termasuk program bercorak kebajikan dan pembangunan diri dan keluarga dalam membantu mereka selaku rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas maj­lis penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan Ibu dan Bapa Tunggal serta Pinjaman Modal Program Jaya Diri (PJD) di Dewan YPKT, di sini petang semalam.

Penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Dalam majlis tersebut, seramai 117 ibu dan bapa tunggal telah menerima insentif perkahwinan ma­sing-masing sebanyak RM1,000 manakala 60 orang merupakan penerima cek pinjaman modal yang berjumlah RM563,000.

Menurut Mohd. Shafaruddin, pemberian insentif perkahwinan itu yang diperkenalkan beberapa tahun lalu telah memasuki fasa keenam tahun ini dengan melibatkan 258 penerima di seluruh negeri.