Mereka terdiri daripada pelajar sekolah dan pusat tahfiz di samping kakitangan syarikat milik kerajaan (GLC), ahli Persatuan Hotel Terengganu, serta masyarakat setempat.

Pengurus Besarnya, Noralizan Abd. Rahman berkata, acara dimulakan dengan tadabbur dan bacaan ayat suci al-Quran daripada surah Al-Hujurat bermula dari ayat 1 hingga 18 dan kemudian diadakan sesi tazkirah dengan Imam Masjid Tengku Tengah Zaharah Kuala Ibai, Ahmad Roslim Jaafar.

“Ini merupakan tahun ketiga Hotel Permai menjadi hotspot utama untuk acara ini dan penganjurannya sangat baik sejajar untuk mengimarahkan bulan Ramadan.

“Tazkirah yang disampaikan tadi bertepatan dengan suasana semasa apabila kita diseru berbaik-baik dan berkasih sayang untuk mengelakkan persengketaan terutama dalam mendepani cabaran dunia media sosial yang berisiko ke arah penyebaran fitnah, justeru dengan adanya World #QuranHour ini secara tidak langsung dapat menjadi wadah merapatkan ukhwah dan menyatukan ummah agar lebih maju, berkat dan sejahtera,” katanya.

Noralizan berkata, Hotel Permai turut mengambil inisiatif mengagihkan kuih nekbat kepada peserta yang secara tidak langsung dapat memperkenalkan makanan tradisi yang kebiasaan hanya boleh didapati pada bulan Ramadhan sahaja.

“Tujuan utama pemilihan kuih ini adalah untuk memperkenalkan kewujudannya kepada kalangan masyarakat tempatan kerana ada segelintir golongan muda yang masih tidak tahu tentang nekbat sedangkan kuih ini cuma terdapat di Terengganu dan tiada di negeri lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE