Mereka tidak tahu apa-apa me­ngenai urusan orang dewasa itu dan bagi memberi kefahaman serta kesedaran awal terhadap ibadat haji, seramai 1,430 kanak-kanak dari 54 tadika dan taska swasta di seluruh negeri menyer­tai program Simulasi Haji Cilik baru-baru ini.

Program yang sekali gus bagi menyemai impian mereka sejak kecil bagi melaksanakan ibadat yang menjadi tuntutan dalam kehidupan beragama, diadakan serentak di di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini dan di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman.

Pengarah program, Wan Najmiyah Wan Yussof berkata, program di sini menghimpunkan sejumlah 927 kanak-kanak dari 35 tadika di enam daerah di negeri ini iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Besut.

“Di Kemaman pula membabitkan 504 penyertaan dari 19 tadika dan taska swasta di daerah itu dan Dungun. Program dilakukan di dua lokasi ekoran permintaan yang jauh lebih tinggi berbanding 1,017 kanak-kanak tahun lalu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Simulasi Haji Cilik 2017 di Masjid UniSZA di sini baru-baru ini.

Program dengan kerjasama 60 sukarelawan melibatkan kala­ngan pelajar bidang Pengajian Islam (Syariah) dan Perubatan UniSZA turut dihadiri Timbalan Pengarah Pusat Islam UniSZA, Dr. Anas. Mohd Yunus.

Program separuh hari itu dimulakan dengan simulasi di beberapa ‘check point’ termasuk semasa ketibaan di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melon­tar jamrah, saie, tahallul dan korban.

Menurut Wan Najimiyah, program yang dijayakan dalam suasana mengujakan kanak-kanak itu turut membantu memudahkan mereka jika berpeluang mengerjakan haji bersama keluarga.