Ini bermakna, menerusi geran yang diperuntukkan kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu, setiap MPKK mendapat RM10,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memberitahu, pemberian geran tersebut sedang dalam proses pengagihan kepada 1,040 MPKK di Terengganu.

"Kerajaan negeri mengucapkan setinggi terima kasih kepada kerajaan Pusat atas peruntukan RM10.4 juta ini (geran kepada MPKK)," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis perjumpaan MPKK Bersama MB di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak di sini semalam.

Sehubungan itu, Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menggesa semua MPKK agar memanfaatkan dengan sebaik mungkin peruntukan geran itu.

Beliau turut menarik perhatian bahawa pihak pengurusan Felda bersetuju agar pengerusi MPKK melibatkan 22 tanah rancangan itu di Terengganu dipilih menjadi salah seorang ahli mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Tanah Rancangan (JKKR).

"Kita akan teruskan agenda menjalin kerjasama dengan kerajaan Pusat, memandangkan sebelum ini JKKR hanya dianggotai ketua-ketua blok dalam kalangan peneroka Felda," jelasnya. - UTUSAN ONLINE