Dokumen panduan yang disediakan memberi kefahaman kepada umum tentang keperluan pematuhan peraturan dan kawal selia dalam menjalankan pernia­gaan yang dikuat kuasa oleh pi­hak berkuasa negeri dan PBT.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafiee berkata, panduan itu turut bertujuan merapatkan jurang perbezaan prosedur kerja sedia ada seperti tempoh kelulusan lesen, aktiviti kerja dan keperluan dokumen sokongan.

“Borang-borang permohonan juga turut ditambah baik, diperkemas dan diseragamkan bagi me­ngelakkan pertindihan proses ker­ja dan keperluan yang tidak lagi relevan,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Panduan Permohonan dan Peraturan Pelesenan PBT Terengganu di Hotel Primula, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Produktiviti dan Daya Saing Perbadanan Produktiviti Malaysia, Dr. Daud Talib; Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setia­usaha Kerajaan, Jusman Ibrahim; para peneraju PBT seluruh negeri serta wakil komuniti perniagaan.

Mohd. Jidin berkata, pihaknya akan terus membuat pembaharuan dari semasa ke semasa bagi mewujudkan suasana perniaga­an yang kondusif meningkatkan daya saing.

“Langkah yang telah mula digerakkan itu seiring dengan usaha pemodenan lesen perniagaan PBT negeri selain meningkatkan ketelusan dan memudahkan permohonan mendapatkan lesen di samping mengurangkan tempoh masa dan kos yang ditanggung oleh komuniti perniagaan dalam urusan itu.

“Melalui pendekatan baharu tersebut, pihak awam dan komuniti perniagaan boleh menca­dangkan idea bersesuaian kepada kerajaan negeri bagi mencapai objektif mengawal selia aktiviti perniagaan melalui sesi konsultasi dan libat urus yang dijalankan secara berkala,” katanya.

Sementara itu, Dr. Daud menghargai komitmen PBT yang telah berjaya membangunkan panduan ini dalam tempoh yang singkat di bawah penyelarasan Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan dan Perba­danan Produktiviti Malaysia.