GHAZALI TAIB
GHAZALI TAIB

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, banyak aspek perlu diperhalusi sekiranya perkara itu mahu dilaksanakan kerana melibatkan privasi orang ramai.

"Dalam kecanggihan teknologi di zaman serba moden ini, kita bimbang pendedahan maklumat sedemikian rupa hanya akan memberi lebih banyak implikasi negatif berbanding kesan positif hasil pelaksanaannya nanti.

"Dibimbangi juga status perkahwinan seseorang itu akan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan yang tidak baik seperti memecahbelahkan rumahtangga sedia ada atau mencetus perbalahan antara isteri pertama, kedua dan seterusnya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya maklum balas kerajaan negeri mengenai cadangan pelaksanaan semakan status perkahwinan secara dalam talian yang dicetuskan netizen susulan kes pembunuhan seorang lelaki sebaik sahaja membuat semakan status perkahwinan bakal adik iparnya di perkarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata, kes seumpama itu adalah kejadian terpencil dan keperluan untuk mewujudkan sistem semakan status perkahwinan secara dalam talian itu bukanlah dalam keadaan mendesak.

Tegasnya, JHEAT sentiasa memudahkan bakal pengantin untuk mengesahkan status perkahwinan bakal suami atau bakal isteri mereka sekiranya terdapat permohonan daripada mana-mana pihak.

"Namun, mestilah ada satu bukti yang menunjukkan adanya komitmen untuk melangsungkan perkahwinan sebelum status perkahwinan bakal pengantin didedahkan.

"Contoh komitmen untuk melangsungkan perkahwinan adalah kursus perkahwinan yang dihadiri atau apa sahaja bukti menunjukkan bakal pengantin mahu melangsungkan perkahwinan dengan individu yang mahu disemak statusnya itu," katanya. - BERNAMA