Ramai yang masih bercakap tentang azam, sama ada 2017 sudah tercapai sepenuhnya atau tidak dan pasti tekad tahun baharu sudah tersemat dalam sa­nubari masing-masing.

Dengan kesempatan ini, Teropong Kawan ingin ucapkan tahniah kepada yang sudah tercapai azamnya, bagi yang belum usah kecewa, teruskan usaha dengan­ lebih gigih untuk mencapai le­bih kecemerlangan, usah ada sedetik pun rasa putus asa.

Orang yang berputus asa adalah golongan yang tidak ada semangat juang kental, teruslah berusaha, kejayaan pasti akan menjelma sama ada cepat atau lambat.

Yakinlah bahawa setiap kejayaan dan kecemerlangan tidak akan diperoleh tanpa usaha gigih dan kecekalan menempuh pelbagai dugaan dan cabaran.

Sebut siapa sahaja golongan yang berjaya dalam kerjaya atau perniagaan mereka, semua pas­tinya pernah melalui cabaran dan dugaan.

Senyuman mereka hari ini sebenarnya disulami dengan bermacam halangan dan cabaran, namun kegigihan dan kerja keras serta semangat juang kental menjadi benteng agar mereka terus bertahan dan tidak roboh, sekali gus menempa kecemerlangan.

Teropong Kawan baru-baru ini menjengah orang tua di kampung di Sarawak, nyata kehidupan sebagai warga pedalaman yang masih ‘hulu’ sering memberi keinsafan kepada diri dan keluarga.

Keadaan kampung masih dalam keadaan serba kekura­ngan­ dan baru beberapa bulan menikmati bekalan elektrik, namun masih mengharapkan air sungai untuk mandi dan membasuh serta air hujan untuk ke­gunaan memasak.

Jika dahulu, terpaksa menaiki bot panjang kira-kira satu jam dari pekan Engkilili, namun kini dihubungkan dengan jalan tanah merah dan berbatu besar laluan ladang kelapa sawit termasuk ke bandar Sri Aman. Bagi orang kampung seperti Teropong Kawan, perkara itu sudah biasa, namun bagi warga bandar, mungkin ini cabaran dan pengalaman sama ada menarik atau sebaliknya, bergantung kepada seseorang untuk menilainya.

Itulah perubahan dan perjalanan hidup yang harus ditempuh.

Namun, apa yang menarik perhatian Teropong Kawan adalah sikap dan kegigihan warga desa mengusahakan sawah dan kebun masing-masing tanpa kenal erti lelah. Setiap hari ada sahaja sahaja tugas di sawah yang harus dilaksanakan.

Masih teringat sayu suara emak dan abah menceritakan bagaimana banjir besar yang menenggelamkan kebun lada hitam mereka selama lima hari yang baru berbuah ‘sulung’ dan tidak sempat matang.

Hanya air mata tuan mereka sahaja yang ‘gugur’ menyaksikan lebih 100 pokok lada hitam yang terendam air bah mati tanpa hasilnya sempat dituai. Malah, Teropong Kawan turut sedih menyaksikan sendiri pokok-pokok lada yang rimbun berbuah kekeringan dan mati.

Tetapi walau dalam usia senja, kegigihan mereka menggantikan dan menanam semula dengan pokok-pokok lada hitam yang baharu amat menyentuh hati.

Terdetik dalam hati, gigihnya orang tua ini. Inilah semangat, inilah perjuangan dan inilah kekuatan untuk terus memberikan yang terbaik supaya jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Justeru, dalam jiwa ini masih terwaris dan tersimpul mati semangat dan kekuatan itu. Siapa pun kita, semuanya harus berusaha menjadi lebih lebih baik.

Teropong Kawan – Menginsafi kekurangan diri.