Malah, peluang menemu bual beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan semalam memberi ruang untuk mengenali lebih dekat anak jati Sri Gading itu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Luqman Haziq Abdullah dan Mohamed Faizal Hashim serta jurugambar, Ba’azlan Ibrahim, beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Sri Gading berkongsi aspirasinya untuk melonjakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

AB. AZIZ KAPRAWI
AB. AZIZ KAPRAWI

 

UTUSAN: Datuk yakin dapat pertahankan kerusi Parlimen Sri Gading?

Ab. Aziz Kaprawi: Saya yakin kita dapat mempertahankan kerusi ini kerana masyarakat di sini telah dapat perkhidmatan yang terbaik dan kampung-kampung di sni semua telah dapat diselenggarakan dengan baik. Kita boleh melihat masyarakat Sri Gading menikmati pembangunan yang hebat dan kita bakal menikmati stesen kereta api laju dalam kawasan Parlimen ini.

Perkara ini semua meyakinkan rakyat bahawa BN telah menunaikan segala janji pembangunan di Sri Gading termasuk juga pembelaan kepada rakyat akar umbi selain banyak prasarana yang dapat kita bangunkan seperti rangkaian jalan baharu, masjid dan surau baharu. Ini semua pembangunan yang tidak pernah berhenti dan rancak dilakukan di kawasan pekan-pekan dengan kawasan kampung sudah dinaik taraf menjadi taman.

Sekiranya sekali lagi diberikan mandat untuk terus menjadi wakil rakyat, apa yang Datuk akan lakukan?

Pertama, kita akan mening­katkan taraf kualiti hidup antaranya dengan mentranformasikan kawasan pekan kita seperti di pekan Parit Raja dan Parit Yaani. Kita akan transformasikan menjadi sebuah bandar yang indah dan bersih selain membangunkan taman dalam bandar, membangunkan dataran baru di bandar, mewujudkan amalan kebersihan supaya memberi satu nafas baharu bagi penduduk di sini.

Seperti kita tahu, Parit Raja merupakan pekan tradisional yang tidak tersusun, jadi kita akan struktur semula kawasan itu untuk menjadikannya sebagai bandar univerisiti yang indah dan bersih serta rakyat boleh berbangga memiliki bandar sendiri.

Isu cukai barang dan perkhid­matan (GST) menjadi modal po­litik pihak pembangkang ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Apa komen Datuk?

Dalam satu ceramah pembangkang yang diadakan di Parit Yani baru-baru ini, mereka ada menyebut GST membuatkan rak­yat jatuh miskin dan mendakwa kerajaan sudah pungut RM40 bilion daripada rakyat selain bercita-cita hendak menghapuskan sistem cukai itu. Jadi, itu antara isu dibawa pembangkang yang perlu kita terangkan semula kepada rakyat tapi kebanyakan rakyat sudah faham kerana kita sudah berdepan dengan mereka hampir setiap minggu sejak dahulu lagi. Saya beritahu mereka sila buktikan jika ada rakyat yang jatuh miskin kerana GST. Sebenarnya sebahagian besar keper­luan rakyat telah dihapuskan oleh pelaksanaan GST.

Ketika ini pembangkang meng­gunakan strategi baharu dengan menggunakan satu logo sahaja. Strategi ini boleh mengelirukan terutamanya orang Melayu dan adakah strategi begini boleh memberi manfaat kepada mereka atau sebaliknya?

Ini pada dasarnya adalah strategi tipu muslihat mereka yang hendak mengaburi orang Melayu supaya dapat menyo­kong pihak mereka khususnya DAP. Parti itu tahu kalau mereka gunakan logo roket, pengundi Melayu semacam trauma untuk mengundi mereka.

Kali ini mereka melakukan tipu muslihat dengan menggunakan lambang PKR tapi kita dapat tahu muslihat mereka apabila bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau mendedahkan strategi sebenar DAP untuk menggunakan Tun Dr. Mahathir untuk 'skru Melayu'. Jadi jelaslah dia mempunyai tipu muslihat cuma perkara ini tidak sampai kepada ramai Melayu.

Kita bimbang orang Melayu masih terperdaya dengan tipu muslihat DAP. Dalam hal ini, saya mengingatkan orang Melayu ja­ngan sampai terperdaya dengan DAP yang terang-terangan memperalatkan Tun Dr. Mahathir demi kepentingan mereka.

Penyertaan beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk dua orang yang dipecat kerana sokong pembangkang. Adakah ini satu petanda bahawa ada pemimpin UMNO juga mula terpengaruh dengan taktik pembangkang?

Saya melihat mereka bukan terpengaruh tapi mereka hendak menyalurkan dendam kerana kepentingan tertentu. Sebagai contoh, Tun Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin termasuk Tan Sri Dr. Rais Yatim. Saya yakin mereka mempunyai agenda tersendiri kerana kebanyakan mereka ini adalah mantan pemimpin yang tidak lagi duduk dalam barisan pentadbiran UMNO dan mereka ini masih merasakan bahawa mereka mahu menentukan perjalanan parti. Oleh kerana kepentingan peribadi tidak tercapai, mereka sanggup jual prinsip kerana mahukan jawatan tersebut.

Adakah penglibatan mereka ini memberi kesan yang besar terhadap perjuangan UMNO dan BN?

Pada keseluruhan, UMNO masih kuat dan pemimpin bahagian seluruh negara masih utuh dan tidak berganjak dengan prinsip mereka, iaitu kesetiaan kepada pemimpin. Kalau ahli sudah tidak ada semangat setia kepada parti, ini satu perkara yang sa­ngat kita kesalkan kerana kita sebagai umat Islam, orang Melayu kita diajar untuk taat setia dan tidak boleh berpaling tadah.

Dalam ajaran Islam juga me­ngajar kita tidak boleh lari daripada peperangan dan kita hendak perjuangan bangsa Melayu ini perlu kita kukuhkan kerana UMNO ini merupakan satu-sa­tunya parti Melayu yang terbesar dan parti inilah yang meme­gang tampuk kekuasaan. Jadi kalau orang Melayu tidak melihat perkara ini, saya amat sedih kerana orang ini sudah hilang jati diri Melayu.