Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ‘Team Johor’ adalah istilah untuk mewakili mereka yang bersetuju memegang aspirasi, objektif bersama untuk memajukan negeri ini.

Justeru, persoalan yang dilemparkan pembangkang ber­hubung istilah ‘Team Johor’ jelas menunjukkan kumpulan itu tidak mahu bersama-sama dalam pasukan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Amat malang di sini saya terpaksa menerangkan makna Bangsa Johor dan ‘Team Johor’. Bangsa Johor memang semua orang Bangsa Johor, tetapi ‘Team Johor’ adalah mereka yang bersetuju memegang aspirasi, objektif bersama untuk majukan Johor.

“Apabila Yang Berhormat (pem­bangkang) kata sudah cukup ada Bangsa Johor dan tak perlu ‘Team Johor’ jelas Yang Berhormat memang tak mahu menyertai ‘Team Johor’,” kata­nya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PAN-Parit Yaani) berhubung istilah ‘Team Johor’ seperti mahu menidakkan gagasan Bangsa Johor.

Mohamed Khaled menegaskan, beliau tidak mengilhamkan istilah ‘Team Johor’, sebaliknya hanya mengungkap fenomena yang diperhatikan berlaku di mana-mana seluruh pelusuk ne­geri ini.

“Fenomena itu ialah kebangkitan rasa dan semangat yang sangat membara untuk memperbaiki Johor, yang digerakkan secara muafakat, disandarkan kepada visi Johor Berkemajuan.

“Semuanya sebagai satu pa­sukan yang ingin menjadikan Johor dan masyarakatnya dalam kelas yang tersendiri,” katanya.