Langkah itu akan meningkatkan pegangan saham TDM di dalam Ladang Rakyat daripada 19.12 peratus (yang dipegang melalui anak syarikatnya) kepada 61.76 peratus.

Ini sekali gus dapat memperluaskan jumlah kawasan pena­naman kelapa sawit TDM di ne­geri ini daripada 31,848 hektar kepada 43.315 hektar manakala 12,645 hektar lagi di Kalimantan Barat, Indonesia.

Pengarah Urusan Kumpulan TDM, Datuk Mohamat Muda menyifatkan perkembangan itu me­rupakan satu langkah penting ke arah meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang sinergi bagi Kumpulan TDM.

“Pengambilalihan ini juga selaras dengan sasaran TDM mencapai keluasan tanaman mence­cah 100,000 hektar, ke arah perladangan bersaiz sederhana.

“Ini seiring juga dengan matlamat menjadi salah satu pengeluar utama minyak sawit lestari yang diiktiraf (CSPO) dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi,” ujarnya.

Pemeteraian HOA diadakan se­rentak dengan pelancaran Model Transformasi TDM Baharu (TTB) yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Hotel Permai di sini.

Yang turut hadhir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TI, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan Pengerusi TDM, Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar.

Menyentuh mengenai Model TTB, Mohamat berkata, misi TDM adalah untuk menjadi model kepada warga korporat, menambahkan pulangan kepada pemegang saham dan juga untuk meningkatkan kesejahteraan semua masyarakat.

“Objektif utama kami adalah untuk mencapai pemodalan pa­saran sebanyak RM2 billion dan membayar dividen tahunan sebanyak RM 100 juta.

“Dengan pencapaian tersebut kelak, kami berharap berada dalam kelompok 100 syarikat teratas di Bursa Malaysia menjelang 2022,”katanya.

Beliau juga memberitahu, dalam sektor perkhidmatan kesihatan pula, pihak mensasarkan peningkatan ke arah bersaiz sederhana dengan pertambahan jumlah katil kepada 1,000 berbanding hanya sekitar 200 sekarang.