Ismail Mohamed.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, penggunaan tanah terbiar itu merupakan satu sumber asas yang memainkan peranan penting dalam membantu mening­katkan pengeluaran bahan makanan negara.

Bagi menjayakan usaha itu, tambahnya, di bawah Program Galakan Usahawan (PGU) pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM169,700 bagi Projek Pembangunan Tanah Terbiar melibatkan 18 peserta bagi kawasan seluas 27.56 hektar.

“Sementara di bawah peruntukan Persekutuan, sebanyak RM70,000 diperuntukkan de­ngan melibatkan tiga orang peserta membabitkan kawasan seluas 3.5 hektar.

“Bagi tahun 2018, Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM200,000 dan kerajaan negeri pula memperuntukkan RM100,000,” katanya ketika menjawab soalan Suhaimi Salleh (BN-Kukup) berhubung pembangunan tanah terbiar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md. Jais Sarday berkata, Parlimen Tebrau akan mencatatkan antara kawasan tertinggi dibangunkan Perumahan Rakyat Johor menje­lang 2020.

Beliau merujuk Laporan Task Force Perumahan Rakyat Johor di mana terdapat sebanyak 17 projek pembangunan Perumahan Rakyat Johor di Parlimen Tebrau dengan sebanyak 11,311 unit pembangunan bermula tahun 2014 hingga 2020.

“Status terkini pembangunan Perumahan Rakyat Johor di Parlimen Tebrau terdiri daripada tiga jenis pembangunan iaitu siap dibina, sedang dibina dan akan dibina.

“Bagi pembangunan yang te­lah siap dibina bermula dari 2014 hingga Oktober 2017, sebanyak 671 unit Perumahan Komuniti Johor A yang berharga RM42,000 telah siap dibina manakala 250 unit Perumahan Komuniti Johor B yang berharga RM80,000 telah siap dibina,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Maulizan Bujang (BN-Tiram) yang ingin tahu jumlah rumah murah Perumahan Komuniti Johor A dan B serta Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang siap, sedang dan telah dibina di Parlimen Tebrau menjelang tahun 2020.

Md. Jais berkata, bagi RMMJ berharga RM150,000 pula, sebanyak 642 unit telah siap dibina di Parlimen itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan Perumahan Rakyat Johor yang telah siap dibina berjumlah 1,563 unit.