Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebagaimana pelbagai kemudahan termasuk pendidikan dan kesihatan, kerajaan juga memberi subsidi kepada projek dan perkhidmatan pengangkutan awam seperti ECRL kerana sedar kos sebenar tidak mampu ditanggung rakyat.

 Dalam masa sama, beliau berkata, rakyat perlu bersikap realistik kerana perubahan kos tetap akan berlaku selari dengan kenaikan taraf hidup.

 "Tidak ada negara yang membuat untung melalui pengangkutan awam dan semuanya bergantung kepada kerajaan seperti kita peruntuk subsidi 50 peratus untuk projek Transit Aliran Massa (MRT) sebelum ini.

 "Sebarang kenaikan tambang sekalipun tidak akan mampu menampung perbelanjaan yang digunakan, kalau kita sebut kos memang tinggi dan kita tidak boleh jamin kadar tambang sama sama sampai kiamat.

 "Kerajaan akan pastikan tambang berpatutan tetapi rakyat perlu bersikap realistik dan mengambil kira perubahan sepanjang masa contohnya gaji buruh binaan dan pemandu juga semakin tinggi," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri di sini hari ini.

 Yang turut hadir, Pengarah JPP negeri, Yahaya Mamat.

 Menurut Mustapa, projek ECRL di negeri ini melibatkan perbelanjaan RM5 bilion daripada keseluruhan kos RM55 bilion iaitu melibatkan pengambil alihan tanah seluas 445 hektar bagi pembinaan landasan sepanjang 70 kilometer dan lima buah stesen. - UTUSAN ONLINE