CHONG NEE HWA (tiga dari kiri) melepaskan ikan kap Jepun dalam kolam selepas perasmian Program Gotong-Royong Taman Burung Kulim, Kedah, kelmarin.

Apa yang lebih menarik, kata Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, usaha tersebut dilakukan oleh syarikat swasta yang prihatin agar taman berusia lebih 30 tahun itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan dekorasi sejak setahun lepas.

Katanya, antara yang menarik tumpuan ramai adalah pengunjung kini boleh melihat pelbagai jenis ikan, itik, burung dan ar­nab yang dipelihara di kawasan tersebut.

“Usaha memperindahkan ka­wasan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Fuji Electric (Malaysia) Sdn. Bhd. Pihak berkenaan sanggup membina sebuah ko­lam anggaran RM4,000 dan kemudian melepaskan ikan kap Jepun.

“Kita memuji langkah pihak tersebut yang memperindahkan kawasan ini agar ia menjadi tumpuan orang ramai. Lebih banyak pihak dialu-alukan untuk menyumbang,” katanya pada majlis perasmian Program Gotong-Royong Taman Burung Kulim, di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Eksekutif Fuji Electric, Chong Nee Hwa, setakat ini pihaknya telah menganjurkan program CSR di beberapa tempat di sekitar Kulim/Bandar Baharu, termasuk di Ulu Paip Jalan Mahang dan Tasik Pekan Kulim.

“Kos bagi memperindahkan kawasan itu mencecah lebih RM200,000 dan pihak lain juga boleh berbuat demikian jika ingin sama-sama prihatin dan membuat kebajikan,” katanya.

Katanya, sebanyak 30 kakitangan syarikat tersebut terlibat dengan gotong-royong ber­kenaan.