Bekas pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu menerima wang tunai RM10,000 di samping tajaan umrah, set persalinan, plak piala dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail yang diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan barisan kepimpinan kerajaan.

Penganugerahan itu diberikan atas sumbangan serta jasa Talib yang sentiasa komited terhadap tanggungjawab mendaulatkan syiar Islam terutama kepada masyarakat negeri ini.

Talib yang berasal dari wilayah Kampung Cham di Kemboja berhijrah ke Malaysia pada Jun 1975 dan mendapat taraf penduduk tetap dua tahun kemudian.

Beliau ketika ini merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri di samping giat mengendalikan kelas-kelas pengajian agama di masjid terutama kelas pengajian tinggi secara berkitab kepada daie dan muallim di daerah ini dan Setiu.

Beliau berkata, penghargaan tertinggi itu secara tidak langsung menjadi pendorong semangat buatnya untuk bekerja lebih kuat dalam menyebarkan ilmu dan dakwah Islam kepada masyarakat.

“Alhamdulillah saya bersyu­kur dan berterima kasih kepada semua pihak, sebenarnya tidak pernah terlintas di fikiran untuk menerima anugerah ini.

“Selagi nyawa dikandung badan saya akan terus berkhidmat menyalurkan ilmu kerana ia merupakan pahala setelah kita meninggal dunia,” katanya.

Dalam majlis itu, gadis orang kurang upaya (OKU) penjual kuih bakul dari Kemaman, Haziqah Nurulhuda Harun, 22, dipilih sebagai Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU) Maal Hijrah kategori wanita di samping Anjang Ali (lelaki).

Kedua-duanya membawa pu­lang wang tunai RM3,000 di samping plak piala dan sijil penghargaan.

Penerima Tokoh Keluarga Tung­­gal pula diberikan kepada Hasnah Sulong; Tokoh Keluarga Mithali (Haron Yusof), Tokoh Aktivis Saudara Kita Maal Hijrah (Noorazman Lua @ Lua Boon), Tokoh Imam Cemerlang (Datuk Ismail Ali), Tokoh Bilal Cemerlang (Safiee Sholeh), Tokoh Hafiz (Rudaini Harun) dan Tokoh Dakwah (Hamzah @ Wahab Hitam).

Kategori Masjid Kerajaan Terbaik pula dimenangi Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar sementara Masjid Mukim Terbaik (Masjid Al-Islah Kampung Limbongan Besut) dan Kedai/Restoran Halal Terbaik jatuh kepada Ariza Ahmad.