Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Zainal Fitri Ahmad berkata, e-Waste itu terdiri daripada televisyen, komputer peribadi, mesin basuh, telefon bimbit, penghawa dingin, peti sejuk dan lain-lain peralatan elektronik.

Beliau berkata, kempen yang disasarkan ke seluruh nege­ri itu bermula hari ini hingga 21 Oktober ini.

“Beberapa lokasi pengumpulan terpilih telah dikenal pasti bagi memudahkan orang ramai menghantar barangan tersebut seperti balai raya, pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat Felda, masjid tertentu dan enam stesen minyak Petron terpilih di negeri ini.

“Selain itu, orang ramai juga boleh meletakkan barangan berkenaan di depan rumah ma­sing-masing untuk dikutip oleh syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) pada hari kutipan yang dijadualkan,” katanya dalam sidang akhbar di d’Tempat Country Club dekat sini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Norhazni Mat Sari dan Pengurus Wilayah Negeri Sembilan/Melaka SWM, Dr. Al’Ashari Othman.

Sementara itu, Norhazni berkata, pengumpulan dan pelupusan e-Waste adalah sejajar dengan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, pembuangan e-Waste secara tidak terkawal atau tidak diurus dengan baik boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar memandangkan ia mengandungi bahan toksik dan logam berat seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium dan kromium.

“Pada masa yang sama, terdapat juga bahan-bahan bernilai di dalam barangan buangan ini yang boleh dimanfaatkan se­mula jika diurus dengan betul dan tepat,” ujarnya.

Sebarang pertanyaan mengenai kempen pengumpulan e-Waste itu boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol 1 800 88 7472.