Ketua Super Kelantan, Hazahar Mat Sanisah berkata, tindakan tersebut juga diambil selepas unjam-unjam kecil yang dibina pihaknya dimusnahkan oleh nelayan pukat tunda dan nelayan asing.

Beliau berkata, unjam gergasi akan dibina menggunakan sekurang-kurangnya 1,000 batang buluh, 1,000 unit pemberat, 7,000 pelepah kelapa dan lain-lain dahan pokok berdaun yang tahan dengan air laut.

“Sekiranya unjam dipasang dalam kuantiti yang besar, bot-bot yang ingin menceroboh kawasan tersebut akan membatalkan niat mereka kerana khuatir pukat mereka akan rosak.

“Tujuan unjam ini dibina untuk menguruskan sumber perikanan pantai dan menjana pelu­ang ekonomi nelayan pantai menerusi sektor perikanan rekreasi yang membabitkan usaha mewujudkan lubuk memancing serta menambah pendapatan nelayan pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Pembinaan Unjam Gergasi Super Kelantan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Tok Bali, dekat sini kelmarin.

Hazahar berkata, proses pembikinan unjam gergasi itu dilaksanakan secara bergotong-royong oleh 350 ahli Super daerah Kota Bharu dan Tumpat dan dijangka selesai dilabuhkan di perairan Kelantan pada awal bulan depan.

Menurutnya, peralatan yang dibekalkan Jabatan Perikanan ialah tali, buluh, guni pasir, pelepah kelapa dan pemberat konkrit.