Keberangkatan tiba baginda pada pukul 12.40 tengah hari disusuli dengan upacara menandatangani plak perasmian sebelum Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin membacakan doa selamat.

Baginda kemudian bersama warga UTHM, pemimpin tempatan serta masyarakat setempat menyertai solat Jumaat dan turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan rakyat jelata.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim; Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Masjid Sultan Ibrahim mula memainkan peranannya sebagai institusi syiar Islam setelah mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk ber­operasi pada Oktober 2011.

Bangunan masjid di atas tanah berkeluasan 2.4 hektar yang turut menempatkan Kompleks Pusat Islam dibina dengan kos mencecah RM33 juta dan mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid itu turut menjadi tum­puan masyarakat setempat termasuk warga Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Jururawat Parit Raja dan perumahan serta perindustrian di sekitar kawasan itu untuk menunaikan solat Jumaat dan solat sunat hari raya.

Pelbagai aktiviti pernah dijalankan di masjid itu sepanjang tahun ini antaranya kursus haji perdana, majlis solat hajat dan bacaan yasin, program takbir raya, ibadah korban perdana dan aktiviti keagamaan yang lain.