“Soal penat buat masa ini ti­dak timbul apabila operasi yang di­­kendalikan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah yang berpengalaman membolehkan lebih 60 anggota Rela bertugas,”.

Demikian pengalaman dikongsikan Pegawai Operasi Bencana Jabatan Sukarelawan Malaysia (Re­la), Nurul Ain Fatihah Mazelan, salah seorang daripada 214 anggota yang ditugaskan mengawal keadaan di kawasan runtuhan di Taman Idaman, Se­rendah di sini.

Menurutnya, kesela­matan di kawasan la­ra­ngan zon merah dan di penempatan sementara mangsa juga keadaan terkawal dan selamat kecuali pada hari pertama dan kedua kejadian.

Selain Rela, turut terlibat Ja­batan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pe­jabat Pendidikan Daerah (PPD), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa agensi kerajaan lain.

Bagi Pegawai Psikologi (Kaunselor) JKM, S. Ramesh pula, pelbagai reaksi dan emosi penduduk terlibat dapat dilihat.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu transisi emosi mangsa berbanding hari pertama dengan hari ini (hari kelima) menunjukkan perkembangan yang baik dan rata-rata mereka sudah boleh mengawal perasaan, malah sudah boleh bergurau ketawa sesama kakitangan di pusat pemindahan ini.

“Selain kaunseling individu dan kumpulan, turut diadakan go­tong-royong memasak, membuat kraftangan, sukaneka terutama melibatkan kaum ibu dan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Penolong PPD Hulu Selangor (Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya), Ruslan Che Mee berkata, pengli­batan unit yang dinamakan Smart Support Team (SST) terdiri daripada guru kaunseling, mahir dalam mengendali emosi dan karakter kanak-kanak.

“Slot yang diperuntukkan kepada PPD terhad dan bergantung kepada keperluan oleh pihak JKM sama ada memerlukan khid­mat guru-guru bagi mendekati dan menceriakan kanak-kanak di sini. Namun saya bangga ke­rana terlibat sama membantu mereka,” katanya lagi.