Kepada Wartawan Utusan Kota, ABDUL RAZAK IDRIS, Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kuala Langat, Jefrizal Mohd. Jaafar berkongsi cerita mengenai aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan pertubuhan itu serta pandangannya tentang kepentingan sukan dan aktiviti rekreasi.

Tidak terkecuali, beliau yang dikenali sebagai salah seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang memperjuangkan Stadium Shah Alam turut mengupas sikap ego pihak tertentu dalam isu yang akhirnya merugikan semua pihak.


Utusan: Apa hala tuju Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kuala Langat dan nyatakan sumbangan serta pencapaian pertubuhan ini kepada rakyat?

Jefrizal: Kita di Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kuala Langat mempunyai cara tersendiri bukan sahaja untuk memajukan sukan tetapi memenuhi aktiviti sosial khususnya kepada golo­ngan muda melalui aktiviti sukan bagi mengelakkan mereka terjebak ke kancah tidak sihat.

Saya lihat, ini adalah salah satu pendekatan berkesan untuk mendidik golongan muda meski pun ada kekangan tertentu daripada segi kemudahan infrakstruktur atau sebagainya dan sehingga kini, saya fikir banyak aktiviti sukan dan rekreasi yang dianjurkan memberi manfaat berguna kepada golongan sasaran.

Apakah bentuk sukan dan aktiviti rekreasi yang telah dan sedang dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kuala Langat pada masa ini?

Kelab memberi tumpuan kepada aktiviti kerohanian sebagai pendekatan rekreasi kerana kami lihat ada jurang serta kelompongan dalam aspek ini membabitkan golongan remaja yang perlu diisi dan diambil tanggungjawabnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kami.

Antaranya, kami bukan sahaja melaksanakan aktiviti membersih surau dan masjid di seluruh Parlimen Kuala Langat tetapi turut disertakan dengan pengisian program memantapkan kerohanian anak muda untuk lebih mendekatkan diri dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

Tidak terkecuali yang menjadi aktiviti wajib antaranya per­tan­dingan bola sepak, futsal, per­tan­­dingan wau serta pertandingan memancing kerana di Kuala Langat ini, banyak terdapat parit serta tali air yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan berfaedah.

Saudara sebutkan tadi terda­pat kekangan dari segi infra­struktur, apakah sebenarnya yang dimaksudkan kerana Selangor sepertimana yang kita semua tahu adalah sebuah negeri yang maju.

Sebenarnya di kawasan pinggir bandar seperti Kuala Langat, Sijangkang, Jenjarum, Teluk Datuk, Morib serta Jugra masih banyak keperluan untuk aktiviti sukan dan rekreasi yang masih tidak disediakan pihak berwajib khususnya oleh kerajaan negeri.

Pada saya, dalam hal ini, kerajaan negeri seolah-olah sengaja bersikap lepas pandang dan cuci tangan kerana pengalaman kami sendiri untuk menganjurkan pertandingan seperti bola sepak atau futsal ia agak terhad sebenarnya kerana kekurangan padang serta gelanggang yang bersesuaian.

Itu belum lagi kita bercakap soal peruntukan. Sepanjang penglibatan kami dalam aktiviti sukan dan rekreasi ini, kos perbe­lanjaan ditanggung sendiri dan lebih malang lagi, ada anak-anak muda yang terpaksa mengeluarkan modal masing-masing untuk bersukan, sedangkan ia tanggungjawab kerajaan negeri.

Jika begitu permasalahan yang timbul, apa saranan saudara kepada kerajaan negeri?

Saranan saya mudah sahaja, utamakan pembangunan sukan bukan sahaja dengan menyediakan prasarana mencukupi tetapi mesti juga disusuli dengan pengisian jika tidak, infrastruktur itu tidak memberi apa-apa makna dan rakyat juga tidak memperoleh kesan positif daripada perkara itu.

Pada masa yang sama, jika sudah ada prasarana manfaatkanlah dengan sebaik mungkin dan kami sebagai NGO serta rakyat Sela­ngor keseluruhannya tidak mahu politik seperti yang berlaku ke atas Stadium Shah Alam itu me­larat sehingga akhirnya merugikan semua pihak.

Bercakap soal Stadium Shah Alam ini, ia masih tidak selesai dan kini seolah-olah menjadi kudis di hati rakyat, bagaimana saudara selaku antara individu lantang bersuara dalam isu stadium melihat perkara ini?

Benar, saya adalah antara individu yang paling lantang dalam isu ini tidak kira di media perdana mahu pun media sosial kerana saya tidak mahu kemudahan sukan yang sepatutnya menjadi medan perpaduan dalam kala­ngan rakyat disalahguna sebagai modal politik murahan yang ak­hirnya merugikan semua pihak.

Paling rugi dalam hal ini sudah tentu pasukan bola sepak Selangor, penyokong Selangor dan juga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Sedangkan jika permasalahan politik tidak dicampur aduk de­ngan kepentingan sukan, Stadium Shah Alam mampu menyum­bang banyak perkara positif kepada masyarakat tetapi kerana sifat ego semua itu tidak berlaku.

Pada pandangan saudara, apakah wajar untuk rakyat dan penyokong Selangor menyalahkan kerajaan negeri dalam isu Stadium Shah Alam ini?

Sudah tentu, kerana kunci kepada semua permasalahan dan juga penyelesaian kepada isu Stadium Shah Alam ini terletak dalam tangan kerajaan negeri. Mudah kata, kalau kerajaan ne­geri nak perkara ini selesai, maka selesailah tetapi jika kerajaan negeri ada agenda lain, maka berlakulah apa yang sedang berlaku ketika ini.

Sekarang ini pula, rakyat dikejutkan dengan tindakan pen­swastaan Stadium Shah Alam yang dibuat tanpa pengetahuan orang ramai. Keputusan yang dilakukan secara ‘rahsia’ ini boleh mencetuskan banyak persoalan. Lebih-lebih lagi ketika The Red Giants bermati-matian dihalang daripada bermain, tiba-tiba stadium sudah diswastakan.

Pada saya ada sesuatu yang meragukan melalui pelaksanaan penswastaaan itu sendiri dan sehingga kini saya difahamkan tiada penjelasan dibuat seolah mulut kerajaan negeri terkunci rapat.

Bagaimana saudara melihat keadaan ini dan sampai bila ia akan berterusan?

Sukan adalah agen perpaduan selain bertujuan mewujudkan rakyat yang sihat. Jadi ia tidak boleh dirosakkan dengan permainan politik. Sukan seharus­nya berada di luar kepentingan politik yang sempit kerana jika tidak, ia hanya akan merosakkan sukan itu sendiri.

Saya sedar dan percaya bahawa semua pihak yang berkepen­tingan dalam isu ini faham akan kepentingan sukan. Justeru itu, laksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat sebaik mungkin dengan memastikan segala permasalahan diselesaikan dengan segera.