Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam berkata, penutupan jalan itu penting bagi memastikan keselamatan penghuni di pinggir jalan itu terutama anak-anak mereka terjamin.

"Kita perlu mengambil kira kepentingan rakyat di sini terutama kanak-kanak jika jalan ini terus dibuka.

"Adalah elok jalan ini ditutup... kita kekalkan keputusan asal," katanya selepas melawat jalan berkenaan dan menerima memorandum daripada penduduk di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Wahab Hasan.

Siva melawat jalan itu selepas menerima laporan daripada penduduk yang mendesak sambungan yang dibina secara haram untuk menyambungkan Jalan AU4/1 dengan Jalan 6/27A di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sejak kira-kira 14 tahun tahun lalu ditutup.

"Saya telah menerima laporan daripada pihak yang meminta jalan ini ditutup.

"Tetapi hanya melihat laporan tidak cukup kerana sukar untuk memahami keadaan. Jadi saya hadir ke sini hari ini untuk melihat situasi sebenar," katanya.

Beliau berkata, selepas melihat keadaan di situ pada hari ini, beliau berpendapat adalah wajar keputusan awal itu dikekalkan.

"Lebih baik kita sediakan payung sebelum hujan iaitu tutup jalan ini sebelum berlaku kejadian melibatkan nyawa.

"Cuma kini yang perlu difikirkan ialah bagaimana pelaksanaannya itu harus dilakukan," ujar Siva.

Jalan berkenaan telah ditutup oleh MPAJ pada pertengahan Disember tahun lalu tetapi telah dibuka semula oleh kumpulan penentang penutupannya pada awal Januari ini.

"Ini bukan masalah majoriti menentang (tutup jalan) dan minoriti menyokong. Ini ialah isu keselamatan dan hak.

"Pihak yang mengemukakan memorandum hari ini juga tidak mendapat apa-apa keuntungan... mereka cuma meminta jalan ini ditutup atas faktor keselamatan.

"Tiada siapa yang rugi dan tiada siapa yang untung apabila jalan ini ditutup malah apabila jalan ini ditutup semua orang dapat jalan baru," ujarnya lagi.

Jalan baru yang dimaksudkan ialah sebatang jalan sepanjang kira-kira 1.3 kilometer yang sedang dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jalan berkenaan, apabila siap kelak akan menyambungkan Jalan 6/27A dengan AU3, Hulu Klang.