Juara Pencetus Ummah musim keempat, Nor Hamizi Jamaluddin, 42, berkata, nilai kasih sayang dan elemen manja antara pasangan berkahwin bukan setakat pada usia remaja, tetapi perlu diteruskan sepanjang hayat dengan penuh keikhlasan.

Sehubungan itu, katanya, setiap orang perlu menerima pasangan mereka seadanya kerana masing-masing mempunyai ke­lebihan dan kekurangan.

“Jangan sesekali kita mengharapkan kesempurnaan daripada pasangan yang dipilih melalui ikatan perkahwinan tetapi harus mencari titik persamaan yang boleh membawa kebahagiaan.

“Bagi membina keluarga bahagia, suami dan isteri perlu sentiasa berkomunkasi dengan sopan yang tidak menyinggung perasaan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Mencari Bahagia Pasangan Suami Isteri Kekal Berzaman' di Masjid Felda Jengka 19 di sini semalam.

Program anjuran Pejabat Perkhidmatan Parlimen Kuala Krau dan Majlis Belia Felda Wilayah Jengka itu turut dihadi­ri Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail dan Setiausaha Kanan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohamed Razali Mamat.

Nor Hamizi atau lebih dikenali dengan panggilan PU Mizi mengingatkan pasangan suami isteri supaya taat kepada perintah Allah SWT dan menjaga ibadah kerana memberi keberkatan serta mendapat rahmat.

Katanya, setiap pasangan wajib melaksanakan tanggungjawab mengikut fitrah masing-masing.

“Sekiranya satu pihak mengabaikan tanggungjawab boleh menyebabkan berlaku ketidakpuasan hati pasangan mereka yang jika tidak dibendung boleh mengakibatkan rumah tangga tidak harmoni,” katanya.

Beliau juga mengingatkan agar sentiasa menyimpan rahsia pasangan masing-masing selain menegur tindakan segelintir masyarakat Islam menggunakan khidmat bomoh untuk menundukkan pasangan mereka walaupun tahu perbuatan sihir itu syirik.