Projek yang dinantikan sekian lama, salah satu prasarana yang menjadi pelengkap ciri lazim sesebuah bandar telah dimulakan pada Oktober tahun lalu dengan kos hampir RM2 juta, terletak bersebelahan masjid daerah ini.

Pegawai Penyelaras UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku memberitahu, projek  ini di bawah kerajaan negeri dengan mendapat bantuan kewangan kerajaan Persekutuan.

"Pebelanjaan mencecah RM2 juta itu melibatkan tebus semula tanah paya, terminal bas, enam kaunter tiket, enam unit premis niaga dan kiosk jualan. Sebenarnya projek ini sudah lama dirancang  tetapi seringkali tertangguh ekoran masalah kewangan.

"Bagaimanapun bagi memenuhi kepentingan orang ramai dan juga pelancong  khususnya yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti, kita tetap mengusahakannya agar menjadi kenyataan,"katanya.

Nik Dir yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang memberitahu demikian ketika ditemui pada program Gunting Rambut Percuma - 'Bojeng Jetat' di kedai gunting Pak Awang berhampiran Jeti Pelancongan Marang, di sini.

Program anjuran Penyelaras DUN Rhu Rendang yang bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang semalam memberi peluang kepada seramai 133 penduduk sekitar untuk bergunting secara percuma, dan akan diteruskan pada 23 Mac, khusus kepada pelajar sekolah pula.

Beliau berharap apabila beroperasi kelak, ia mampu  membantu menghidupkan lagi suasana bandar ini sekali gus dapat membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat. - UTUSAN ONLINE