Stadium bernilai RM92 juta yang menjadi venue tetap pasukan Felda United dalam saingan Liga Malaysia pada musim depan itu sudah siap dibina dan majlis penyerahan rasmi kepada Felda akan disempurnakan pada 15 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata, Stadium Felda Tun Abdul Razak merupakan stadium moden yang diiktriraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mampu memuatkan lebih 20,000 penonton pada satu-satu masa sekali gus menjadi satu lagi mercu tanda di bandar ini.

Beliau berkata, kewujudannya memberi input ekonomi positif kepada warga Felda hasil limpahan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan untuk rakyat.

“Limpahan ekonomi itu termasuk urus niaga berkaitan sukan, restoran atau kedai makan dan bilik kediaman seperti hotel serta inap desa untuk keperluan pengunjung yang datang menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium ber­kenaan.

“Menyedari keadaan ini, Felda merancang membina sebuah hotel serba lengkap di Bandar Tun Abdul Razak Jengka bagi menampung kebanjiran pengunjung pada musim perlawanan bola sepak,” katanya selepas meninjau keadaan stadium itu baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail.

Sebelum ini, pasukan Felda United tidak mempunyai stadium khusus sebagai gelanggang sendiri dengan berkongsi Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan pasukan Sime Darby.

Dalam pada itu, Wan Salman berkata, pembinaan Stadium Felda Tun Abdul Razak yang bermula pada tahun 2013 merupakan manifestasi minat mendalam generasi baharu tanah rancangan berkenaan terhadap bola sepak sebagai sukan nombor satu di negara ini.

Menurut beliau, pembinaannya diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka di Bandar Tun Abdul Razak di Jengka pada Julai 2011.

“Masyarakat Felda Jengka tidak sabar untuk menyaksikan pasukan Felda United beraksi di stadium sendiri yang menggunakan rumput tiruan diiktiraf dunia.

“Selaku warga Felda, saya sendiri sangat teruja dan berbangga dengan kewujudan stadium ini di tengah-tengah Felda Jengka yang membuktikan janji kerajaan untuk membina sebuah stadium serba lengkap bukannya retorik,” katanya.