Pengerusinya, Mohd. Fadzil Zolkipli berkata, sehingga kini di kawasan utara belum ada mana-mana litar motocross yang diwartakan menjadi sirkit sukan ekstrem tersebut.

“Kalau litar di Kampung Rasau ini berjaya diwartakan setiap tahun pasti ada penganjuran kejohanan tersebut di sini.

“Kejohanan sukan sebegini da­pat menggalakkan aktiviti su­kan pemotoran yang sihat di kalangan anak muda serta mem­perkenalkan daerah ini kepada peminat sukan motocross dan kami mohon bantuan Ke­menterian Belia dan Sukan untuk membantu melaksanakan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­pa­da pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Motocross Terbuka Kedah 2015 di Litar Mo­tocross Kampung Rasau, di sini kelmarin.

Yang hadir merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Mohd. Fadzil, kejohanan yang pertama kali dianjurkan pihaknya itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 100 pelumba termasuk dari Thailand dan Singapura.

“Kejohanan ini juga menarik minat orang ramai untuk turut hadir menyaksikan perlumbaan ini dan dianggarkan kira-kira 5,000 penonton hadir,” jelasnya.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya memberitahu, be­liau akan berbincang dengan Persatuan Motocross Malaysia supaya mengiktiraf Litar Motocross Kampung Rasau itu sebagai salah satu sirkit kejohanan motocross di negara ini.

“Kejohanan ini membuktikan bahawa sukan pemotoran tidak hanya boleh dianjurkan di kawasan bandar sahaja namun, di kawasan luar bandar juga ia mampu diadakan.

“Saya akan bantu dan bincang dengan Persatuan Motocross Ma­laysia supaya Litar Motocross Kam­pung Rasau ini dimasukkan di dalam senarai sirkit litar motocross di negara ini,” je­las­nya.