Kelab Sukan dan Rekreasi (SRCC) Parlimen Kota Raja antara pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa berusaha menarik perhatian masyarakat terutama anak muda aktif dalam sukan. Wartawan Utusan Malaysia ABDUL RAZAK IDRIS menemu bual  Pengerusinya, MOHAMAD KHUSYAIRI ABDUL AZIZ untuk berkongsi usaha dan cabaran di sebalik kekurangan prasarana dan kekangan kewangan yang dihadapi.

 

UTUSAN MALAYSIA: Apakah impak Hari Sukan Negara (HSN) terhadap aktiviti dan program sukan di kawasan Parlimen Kota Raja ini?

MOHD. KUSYHAIRI: HSN diwujudkan bertujuan membentuk masyarakat cergas, sihat dan mempunyai produktiviti yang tinggi menjelang tahun 2020.

Sebagai Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi (SRCC) Parlimen Kota Raja saya amat mengalu-alukan usaha ini sebagai pencetus kepada minat generasi muda terhadap acara sukan tidak kira sukan luar mahupun dalam padang.

Di parlimen ini bukan sahaja mempunyai sekolah paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia iaitu Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) malahan kita mampu melahirkan bakat sukan bertaraf nasional, Asia Tenggara hingga peringkat dunia.

Bolehkah parlimen ini dianggap sebagai hub menghasilkan atlet untuk negara?

Sebagai sebuah kawasan yang mempunyai penduduk padat nisbah atlet berkualiti yang ada di sini berbanding jumlah penduduk amat jauh.

Maka tidak layak untuk kawasan Parlimen Kota Raja menjadi hab menghasilkan bakat sukan.

Prasarana untuk padang bola-sepak misalnya perlu disewa dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) atau Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Adakah anak muda perlu menyewa padang bola setiap hari sedangkan mereka tidak berkemampuan.

Hanya Gelanggang Futsal di Sungai Jati menjadi tumpuan anak muda bermain hingga lewat malam kerana padang bola sedia ada tidak mencukupi. Itupun mereka terpaksa berkongsi duit belanja sekolah untuk membolehkan mereka beraksi seperti Lio­nel Messi mahupun Christiano Ronaldo.

Adakah prasarana sukan yang sedia ada menjadi pemangkin kepada kejayaan SRCC membantu atlet-atlet tersebut? Jujur saya katakan kejayaan atlet-atlet tersebut adalah atas inisiatif mereka sendiri dengan sokongan kewangan mengikut peruntukan khusus dari SRCC Kota Raja.

Parlimen ini mencakupi tiga daerah iaitu Shah Alam, Klang dan Kuala Langat dan ini membuktikan betapa luas kawasan ini yang mempunyai hampir 300,000 penduduk.

Justeru, aktiviti sukan memerlukan suntikan dana yang besar untuk membolehkan ianya disertai oleh majoriti rakyat.

Sebagai pemimpin NGO kami memahami sukan memerlukan padang dan prasarana yang sempurna, namun hampir ke­seluruhan prasarana tersebut perlu dibayar atas dasar sewaan se­dangkan bukan semua orang berkemampuan.

Apakah jenis sukan yang dilihat mampu melahirkan juara di bawah naungan pihak SRCC?

Selain gusti lengan kami juga berbangga kerana melahirkan wakil negara dalam sukan SEA bagi acara luncur air walau ha­nya di tempat kelima iaitu Rody Buang.

Selain itu, kami juga mempunyai pemain muda sepak takraw yang mewakili peringkat sekolah dan negeri.

Bagi saya, sukan seperti sepak takraw, badminton dan lumba basikal begitu dekat di hati kerana saya turut aktif dalam sukan ini.

Bagi sukan badminton, saya turut menggalakkan kedua anak lelaki saya untuk bermain sukan tersebut secara kompetitif agar mereka dapat menjadi pemain sehebat anak-anak Datuk Sidek. Mereka turut didedahkan dengan teknik permainan dari pemain lagenda seperti Datuk Misbun Sidek.

Adakah prasarana di Parlimen Kota Raja mencukupi untuk pihak SRCC terus melahirkan ahli-ahli sukan bertaraf antarabangsa?

Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, setiap ahli sukan yang berjaya menempuh pelbagai rin­tangan sebelum mereka mampu tersenyum dan menggigit pingat emas di atas podium.

Sebagai contoh, kita mempu­nyai kira-kira 10 kelab basikal lasak dan ahli-ahli kelab aktif dalam pertandingan sukan tersebut. Namun mereka tidak dapat berlatih di jalan raya yang ada di kawasan ini kerana struktur jalan yang daif.

Jalan-jalan banyak berlubang dan pecah di sana-sini misalnya di Kota Kemuning, Taman Klang Jaya dan Taman Sentosa. Sampai satu tahap pelumba basikal terpaksa berkayuh hingga ke bandar Shah Alam yang mempunyai trek basikal.

Ada yang berbasikal pada waktu malam di lebuhraya di sini dilanggar motosikal dan disamun. Ini semua berpunca dari prasarana tidak selari dengan kehendak semasa aktiviti rekreasi rakyat.

Adakah kekurangan dari segi prasarana merencatkan usaha pihak SRCC terus membantu pembangunan sukan rakyat?

Di negara luar sebagai contoh di Korea Selatan, kita boleh melihat gimnasium boleh beroperasi secara terbuka di taman mahupun bawah jambatan.

Tiada pun peralatan dirosakkan atau dicuri.

Kami juga boleh berbuat demikian dengan mewujudkan gimnasium rakyat di sini. Setakat ini kemudahan tersebut tidak ada di sini cuma ada di Kapar dan Klang.

Jika gelanggang futsal rakyat dapat diwujudkan dengan percuma saya berpendapat jaguh bola-sepak pada masa depan mampu dilahirkan.

Padang bolasepak pada hemat saya sudah menjadi terlalu eksklusif untuk golongan berada menyewanya kerana kemudahan yang terhad.

Ketiadaan prasarana ini diharap dapat ditampung oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa. Usaha melahirkan jaguh sukan tidak akan terencat kerana jaguh gusti lengan yang mewakili negara ke kejohanan dunia pe­ringkat Asia Pasifik, Rony Iskandar kebanyakan masa beliau berlatih di rumah sahaja. Kekurangan tersebut bukan halangan tetapi penyuntik semangat menghadapi lawan.

Apakah misi dan visi pihak SRCC dan saudara sendiri?

Walaupun kita berjaya melahirkan juara peringkat antarabangsa sekalipun usaha untuk pembangunan sukan perlu berterusan.

Prasarana seperti trek berbasikal perlu diwujudkan untuk melahirkan lebih ramai Azizul Hasni Awang. Padang bolasepak perlu diadakan bukannya hanya dipenuhi projek perumahan ko-mersial. Gimnasium rakyat perlu dibina di setiap ceruk Parlimen Kota Raja bagi membolehkan 300,000 rakyat bersenam.

Kami tidak mahu anak-anak hanya pandai bermain bola, bergusti dan berlumba kereta di dalam permainan video se­dangkan berat badan mereka terus meningkat hingga mengundang obesiti.

Untuk rekod kami mempunyai jaguh seni mempertahankan diri, Aidel Azraff Abdul Mutalib dan Mohamed Ameer Ameruddin Zamri yang bukan sahaja hebat di negara ini malahan berpotensi mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Kami bersikap diam-diam ubi dalam membangunkan bakat sukan. Diam-diam berisi.

Sejujurnya, kejayaan SRCC Parlimen Kota Raja banyak dibantu oleh pemimpin tempatan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sentiasa membantu dari sudut kewangan mahupun khidmat nasihat demi memajukan sukan untuk rakyat.