Pengarah Pendidikan negeri, Jaafar Ismail berkata, peratusan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran turut menurun iaitu satu peratus pada 2016 berbanding 1.41 peratus pada 2015.

Bagaimanapun kata beliau, jumlah sekolah yang lulus 100 peratus meningkat apabila mencatat 25 buah sekolah berbanding 24 buah sekolah pada 2015.

“Sebanyak 49 buah sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi GPN manakala 68 buah sekolah menunjukkan peningkatan GPS dengan mata terbaik ialah 1.81.

“Sekolah dengan GPS terbaik 1.81 ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra,” katanya dalam majlis pengumuman keputusan SPM 2016 di Tunjong, di sini hari ini.

Seramai 31,267 calon telah menduduki SPM 2016 dengan 23,398 calon dari sekolah bantuan kerajaan, 5,013 calon sekolah agama kerajaan negeri Yayasan Islam Kelantan (YIK), 791 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 1,974 calon persendirian. - UTUSAN ONLINE